BERITA UTAMA
Waktu bekerja empat setengah hari tertakluk justifikasi kerajaan negeri - Azalina

Waktu bekerja empat setengah hari tertakluk justifikasi kerajaan negeri – Azalina

KOTA TINGGI – Cadangan kerajaan Johor untuk memperkenalkan waktu bekerja empat setengah hari seminggu adalah tertakluk kepada justifikasi kerajaan negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan negeri pastinya mempunyai alasan dan kajian yang mendasari keputusan untuk meneliti cadangan waktu bekerja tersebut.

Bagaimanapun, beliau enggan memberikan ulasan lanjut kerana tidak memiliki perincian lengkap mengenai perancangan kerajaan negeri itu.

“Saya tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai cadangan ini. Namun, saya yakin kerajaan negeri mempunyai rasional yang kukuh sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya kepada pemberita selepas Program Makan Malam Khidmat Komuniti Parlimen Pengerang, dekat sini, semalam.

Ahli Parlimen Pengerang itu turut berkongsi pandangan peribadi mengenai perubahan landskap waktu bekerja akibat kepesatan pembangunan teknologi yang semakin canggih.

“Pandangan saya secara umum, tidak ramai yang bekerja hanya lapan jam sehari lagi (kerana) kebanyakan orang kini bekerja lebih daripada lapan jam, disebabkan adanya sistem teknologi seperti telefon pintar,” katanya.

“Waktu bekerja sebenarnya tertakluk kepada profesion tertentu kerana terdapat profesion yang memerlukan masa bekerja lebih daripada lapan hingga 10 jam, malah ada kalanya kerja tersebut boleh dilakukan dari rumah.

“Kita perlu bersikap lebih terbuka kerana menjelang tahun 2025, banyak perubahan akan berlaku, khususnya dalam aspek teknologi yang bergerak dengan begitu pantas,” katanya.

Khamis lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan kerajaan negeri sedang meneliti cadangan perubahan waktu bekerja sektor awam di negeri itu kepada hanya empat setengah hari susulan pelaksanaan cuti hujung minggu yang diubah semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari depan.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, kerajaan negeri kini sedang giat melakukan penambahbaikan bagi mempertingkatkan produktiviti dan menambah baik sistem penyampaian perkhidmatannya termasuk penyeragaman waktu operasi perkhidmatan kaunter di semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pada 2022, 61 organisasi mengambil bahagian dalam percubaan empat hari seminggu bekerja di United Kingdom yang menunjukkan organisasi melaksanakan waktu kerja lebih singkat meraih manfaat yang ketara, termasuk peningkatan produktiviti dan kesejahteraan pekerja.

Menurut Institut Pengurusan Bertauliah (CMI), data merekodkan mereka yang mengambil bahagian dalam percubaan selama enam bulan itu menunjukkan pengurangan 71 peratus dalam kelesuan melampau (burnout) pekerja dan pengurangan 65 peratus dalam cuti sakit, membawa kepada 89 peratus organisasi yang mengambil bahagian meneruskan pengurangan jam selepas tempoh percubaan dengan beberapa organisasi melaporkan pertumbuhan hasil sehingga 34 peratus. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *