PASIR GUDANG – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim terbuka menerima sebarang tindakan termasuk risiko keahlian digantung dari Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dijangka diputuskan hari ini.
Ia susulan kritikan lantang yang sering dilemparkan Hassan terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR baru-baru ini.
Meskipun sedar risiko itu, katanya beliau tidak akan merayu, sebaliknya berpuas hati dengan sistem Lembaga Disiplin partinya yang bertindak secara profesional.
“Saya dipanggil dalam sesi pendengaran atau perbicaraan dengan lembaga disiplin parti Khamis lalu, namun belum ada keputusan.
“Hasil pendengaran itu mereka (Lembaga Disiplin) akan membuat cadangan tentang keputusan itu.
“Selepas ini mereka akan rujuk Biro Politik PKR dan selepas tu Majlis Pimpinan PKR yang dipengerusikan Presiden PKR. Keputusan dijangka diputuskan esok (hari ini),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau masalah berkaitan aduan penjaja di hadapan Sekolah Agama Taman Scientex di sini, semalam.
Hassan berkata beliau akan menghormati sebarang keputusan lembaga disiplin parti itu dan tidak mahu memberi kenyataan yang boleh mempengaruhi ketetapan itu nanti.
Malah, katanya beliau tidak boleh mendedahkan mengenai perjumpaan itu termasuk butiran dengan lembaga disiplin partinya.
“Saya kena hormat lembaga disiplin dan memberi ruang kepada mereka. Saya sebagai ahli parti kena patuh dan terbuka dengan keputusan diambil,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252