KUALA LUMPUR: Perbelanjaan bagi pembelian ubat-ubatan pada 2023 meningkat 30 peratus dalam tempoh lapan tahun iaitu RM3 bilion berbanding RM2.3 bilion pada 2015.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata peningkatan peruntukan kewangan itu selari kenaikan harga ubat-ubatan, pertambahan bilangan pesakit dan penggunaan ubat baharu mengikut kepakaran yang lazimnya masih dalam tempoh paten dan harga ubat lebih mahal.
“Menurut Laporan Statistik Program Perkhidmatan Farmasi, sebanyak RM23.25 bilion dibelanjakan untuk membeli ubat sejak 2015 sehingga 2023.
“Kementerian Kesihatan (KKM) juga mengunjurkan jumlah perbelanjaan diperlukan untuk menampung keperluan ubat-ubatan di fasiliti-fasiliti KKM akan meningkat dari tahun ke tahun,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai jumlah keseluruhan perbelanjaan tahunan pembelian ubat-ubatan bagi hospital dan klinik kerajaan bermula 2015 serta jangkaan untuk lima tahun akan datang.
Azli juga ingin tahu perancangan kementerian untuk memastikan keterjaminan ubat-ubatan negara menerusi pembangunan teknologi dan kapasiti pengeluaran tempatan.
Dzulkefly berkata, beberapa strategi dibangunkan berpandukan Dasar Ubat Nasional (DUNas) di bawah Komponen Akses Kepada Ubat-Ubatan antaranya memastikan ketersediaan ubat-ubatan di bawah Senarai Ubat Penting Kebangsaan (NEML) menerusi galakan lebih banyak pengilangan tempatan.
Strategi lain, katanya termasuk memberikan keutamaan kepada penilaian dan pendaftaran produk serta menambah baik ketelusan rantaian bekalan melalui pembangunan sistem penjejakan dan pengesanan produk farmaseutikal.
“Selain itu, KKM sedang bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam ekosistem farmaseutikal di negara ini bermula daripada penemuan, kajian praklinikal dan klinikal, pengilangan, pengedaran dan sebagainya.
“Melalui sesi libat urus ini, KKM berusaha mengenal pasti kekuatan dan kelebihan industri farmaseutikal tempatan bagi disyorkan semasa pembangunan pelan tindakan dan pelaksanaan kolaborasi strategik ASEAN Drug Security and Self-Reliance (ADSSR),” katanya.
Dzulkefly berkata, Malaysia menerusi KKM diberi mandat sebagai negara peneraju inisiatif dalam ASEAN dengan objektif utama memastikan keterjaminan ubat-ubatan di peringkat serantau, seterusnya meningkatkan lagi kemandirian penghasilan ubat-ubatan di rantau ini.
“KKM juga sedang merangka polisi off-take susulan pengumuman Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam Belanjawan 2025 yang bertujuan menggalakkan pengukuhan kapasiti pengeluaran ubat-ubatan tempatan,” katanya. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252