BERITA UTAMA

Buli siber: MCMC terima 27 laporan sehari – Fahmi

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima 8,339 laporan dan aduan berkaitan buli siber atau 27 kes sehari bagi tempoh Januari hingga 1 November lalu.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata angka itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding 10 kes sehari sebelum ini.

Katanya, ia sekali gus menyaksikan kepentingan penguatkuasaan pelesenan media sosial dalam mewujudkan ekosistem dalam talian yang lebih selamat kepada pengguna platform mereka.

“Dalam plaftorm Facebook tahun lalu, jumlah penipuan dalam talian yang dilaporkan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) berjumlah RM432 juta, kerugian kepada rakyat Malaysia.

“Bagi jenayah seksual terutama terhadap kanak-kanak melibatkan media sosial, jumlah kes pada 2023 adalah 525 kes, manakala setakat 1 November lalu, 815 permohonan (menurunkan kandungan) telah dibuat, yang berkaitan dengan kandungan child sexual abuse material (CSAM – bahan berkaitan penderaan seksual kanak-kanak) dalam media sosial,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) sama ada penguatkuasaan kerangka pelesenan media sosial akan menjejaskan kebebasan untuk mendapat akses kepada kehidupan moden yang banyak bergantung kepada teknologi digital.

Keperluan pelesenan ke atas penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial dengan pengguna melebihi lapan juta di Malaysia telah diwartakan pada 1 Ogos lalu dan akan berkuat kuasa mulai 1 Januari tahun depan, dengan pihak berkenaan perlu memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)] di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Fahmi berkata, di bawah Akta 588 terdapat langkah-langkah perlindungan yang kukuh bagi mengimbangi keperluan kawal selia dan perlindungan kepada hak kebebasan bersuara serta kebebasan maklumat.

Beliau berkata, pelaksanaan kerangka pelesenan itu bertujuan menangani isu-isu jenayah dalam talian tanpa menyekat inovasi dan pembangunan, sekali gus memastikan pengguna dapat menikmati pengalaman digital yang lebih selamat.

Menjawab soalan tambahan Abdul Latif Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) sama ada langkah pelesenan itu akan menjejaskan peniaga kecil, Fahmi berkata langkah berkenaan tidak akan menjejaskan pengguna kerana hanya penyedia perkhidmatan sahaja yang diwajibkan untuk mendapatkan lesen daripada MCMC. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *