KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen dari Sabah mendakwa pihak kontraktor lebih mengetahui mengenai status sesuatu projek yang berlaku di kawasan berbanding dirinya wakil rakyat sepertinya.
Justeru, Isnaraissah Munirah Majilis (WARISAN-Kota Belud) mempersoal perlukah beliau menjadi seorang kontraktor untuk membolehkan beliau memohon sesuatu projek dilaksanakan di kawasannya.
“Yang paling tahu pasal projek yang turun di kawasan adalah kaki pelobi, penjual-penjual projek yang ampai (kaut dulu) 10 peratus, 20 peratus 30 peratus. Tapi yang kena maki, yang kena cakap tidak pandai buat kerja, tidak pandai bantu dan tidak guna itu adalah YB (Yang Berhormat).
“Kebanyakan masanya bila peruntukan tidak cukup, kami terpaksa tolak ke tahun hadapan. Kami cakap sabar dulu kamu punya giliran. Inilah nasib kami YB yang tidak pandai buat projek dan buat duit.
“Sampai kadang-kadang tertanya-tanya, perlukah saya menjadi kontraktor untuk saya tahu apa projek berlaku di kawasan saya. Perlu saya menjadi kontraktor untuk saya memohon (projek) dapat dilaksanakan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Dewan Rakyat hari ini.
Semalam, Isnaraissah menyuarakan kekecewaan terhadap peratusan rendah projek yang dilaksanakan di Sabah, selain isu kelewatan dalam projek pembangunan.
Beliau turut mempersoal fungsi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri dan Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negeri yang lewat dalam melaksanakan projek atau program di negeri berkenaan.
Isnaraissah ketika mengulas lanjut mengakui tidak tahu akan kewujudan projek di kawasan Parlimennya selepas mendakwa ia berlaku di luar pengetahuannya, meskipun bergelar wakil rakyat.
Situasi itu, katanya menyebabkan permohonan projek lebih mendesak dimahukan oleh rakyat terpaksa ditangguhkan termasuk perlu menunggu peruntukan pada tahun seterusnya.
Beliau juga kecewa selain mengesyaki ada pihak iaitu kaki pelobi dan penjual projek yang lebih awal ‘mengaut’ dulu peruntukan untuk membiayai projek.
Beliau juga tidak menolak apa yang terjadi itu ada kaitan dengan kecurangan tatakelola khususnya dalam isu perolehan projek.
“Saya minta tolong ambil permohonan yang dimohon oleh Ahli Parlimen itu sebagai keutamaan paling Utama. Itulah keperluan mendesak yang dimohon oleh rakyat. YB hari-hari kena tanya. Mana jalan kami?
“Kadang-kadang saya rasa macam tidak berguna bercakap di Parlimen. Mohonlah beratus-ratus surat pada kementerian tidak pula dilayan. Saya sebagai wakil rakyat tidak tahu apa pun projek yang turun di Kawasan saya. Macam tidak ada harga diri sebagai wakil rakyat,” katanya. – Berita Harian
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252