BERITA UTAMA
Masyarakat Orang Asli desak sukan 4x4 dihentikan pada musim tengkujuh

Masyarakat Orang Asli desak sukan 4×4 dihentikan pada musim tengkujuh

GUA MUSANG – Penduduk Orang Asli yang tinggal di pos pedalaman daerah ini berharap tidak ada sukan lasak 4×4 dianjurkan di perkampungan mereka pada musim tengkujuh ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Balar, Hanan Anjang, berkata, aktiviti 4×4 pada musim tengkujuh menyebabkan infrastruktur perhubungan rosak teruk.

Katanya, ketika ini jalan balak menuju ke Pos Balar rosak serta berlubang akibat hujan dan kehadiran peminat sukan lasak ke penempatan Orang Asli boleh memburukkan lagi keadaan ini.

“Saya menerima maklumat terdapat kumpulan 4×4 mahu masuk melakukan program di inap Kampung Dakoh dalam masa terdekat.

“Kami penduduk di pos pedalaman membantah dan tidak membenarkan sama sekali aktiviti yang boleh menyebabkan jalan tanah bertambah rosak.

“Jadi saya harap peminat sukan lasak dapat mempertimbangkan untuk melakukan aktiviti di kawasan pedalaman Orang Asli” katanya.

Bagi Ahmadi Jalil Baiyor, 42, pula berkata, ketika musim tengkujuh masyarakat Orang Asli terpaksa berhadapan dengan kesukaran untuk keluar ke bandar kerana laluan rosak teruk akibat aktiviti sukan lasak 4×4.

Katanya, jika berlaku kes kecemasan penduduk Orang Asli tidak dapat keluar melalui jalan darat dan perlu memohon bantuan helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Jika hanya orang kampung sahaja yang guna jalan, laluan itu tidak akan jadi rosak teruk serta runtuh kerana kebanyakan daripada kami hanya menggunakan motosikal.

“Akibat jalan rosak ini penduduk Orang Asli yang mahu keluar ke bandar Gua Musang memerlukan masa sehingga 10 jam serta bermalam di dalam hutan kerana terkandas,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Sukry Zali, 34, berkata, dia berharap pihak berkuasa dapat mengetatkan kawalan kepada pihak yang ingin mengadakan program di kawasan perkampungan Orang Asli ketika musim tengkujuh.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mengeluarkan notis di Facebook rasminya tidak membenarkan sebarang aktiviti riadah dan kemasyarakatan ke pos pedalaman.

Larangan berkenaan berkuat kuasa bermula 15 September lalu sehingga 28 Februari tahun depan bagi pos penempatan Orang Asli di Pos Gob, Pos Simpor, Pos Balar, Pos Belatim dan Pos Bihai.

“Ini berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu iaitu kekerapan hujan berterusan menyebabkan jalan ke kawasan pedalaman mengalami kerosakan dan ini menjejaskan aktiviti harian penduduk serta menyukarkan pihak JAKOA untuk menghantar bantuan sekiranya berlaku kecemasan.

“Sebarang keperluan mendesak ke kawasan tersebut, pihak terlibat perlu mendapat kebenaran daripada Ketua Pengarah JAKOA atau hubungi 03-8090 3691 untuk maklumat lanjut,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *