BERITA UTAMA
ACT Wanita: Malaysian Tigress bangkit, tundukkan Korea Selatan 2-1

ACT Wanita: Malaysian Tigress bangkit, tundukkan Korea Selatan 2-1

KUALA LUMPUR – Skuad hoki wanita bangkit dari kekecewaan dengan menumpaskan Korea Selatan 2-1 dalam kempen Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (ACT) Wanita 2024 di Stadium Hoki Rajgir, Bihar, India, pada Khamis.

Ia merupakan kemenangan pertama skuad negara yang diberi julukan Malaysian Tigress selepas dua aksi pusingan round robin yang berkesudahan dengan tewas kepada India dan China pada kejohanan berprestij itu.

Tirai jaringan dibuka oleh Korea Selatan di bawah bimbingan Lim Jung Woo pada minit ke-15 menerusi jaringan padang yang disudahkan Eunbi Cheon.

Malaysian Tigress di bawah tunjuk ajar Mohamed Nasihin Nubil Ibrahim bagaimanapun berhasil menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang Zati Alyani Muhammad Zubir pada minit ke-36.

Bersambung suku keempat, skuad negara menggandakan gol apabila Nur Shamine Azureen Mohammed Badusha pula meledak jaringan padang pada minit ke-51, sekali gus meletakkan Malaysia di depan 2-1 hingga ke wisel penamat.

Keputusan itu menyaksikan Malaysian Tigress berada di kedudukan ketiga carta pusingan round robin selepas tiga perlawanan.

Malaysia tewas kepada tuan rumah India 0-4 dalam aksi pertama pada Isnin sebelum turut dikecewakan China 0-5 pada Selasa.

Selepas ini skuad negara dijadualkan bertemu Jepun (Sabtu) dan menutup kempen round robin menentang Thailand Ahad ini.

Sementara itu, Mohamed Nasihin berkata prestasi anak buahnya dilihat sudah bertambah baik selepas mereka mengenal pasti kekurangan ketika menentang India dan China beberapa hari lepas.

“Korea Selatan mengawal permainan tapi kita ada kekuatan untuk mengekang mereka dari menjaringkan gol dan hasil perbincangan dengan pemain, kita nampak mereka berdisplin. Dari segi pukulan sudut penalti, memang kurang baik kita beri mereka 13 pukulan itu, tapi kita berjaya mengekang mereka.

“Selepas ini Jepun, pasukan kuat, kita gunakan hari esok untuk pemulihan, buat perbincangan dan terus bangkit lebih baik dari hari ini,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) pada Khamis.

— BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *