BERITA UTAMA
Kerugian pelaburan FashionValet keputusan Khazanah, PNB melabur dalam syarikat pemula

Kerugian pelaburan FashionValet keputusan Khazanah, PNB melabur dalam syarikat pemula – Amir Hamzah

KUALA LUMPUR – Kerugian pelaburan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam syarikat perniagaan fesyen dalam talian, FashionValet, tidak akan menjejaskan keputusannya untuk terus melabur dalam syarikat pemula.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata dalam konteks Khazanah, mandat terbabit masih dikekalkan dan pada masa sama mekanisme kawalan bagi pelaburan membabitkan syarikat pemula diperkukuhkan.

“Isu FV tidak akan jejaskan Khazanah untuk melabur dalam syarikat pemula. Visi itu masih kekal dalam mandat Khazanah.

“Khazanah akan terus berusaha untuk menyokong syarikat pemula dan modal teroka sambil meningkatkan mekanisme kawalan (bagi menangani risiko kerugian dalam pelaburan),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) sama ada kes kerugian dalam FV akan menjejaskan pelaburan Khazanah bagi pelaburan dalam syarikat pemula dan modal teroka.

Dalam pada itu, Amir Hamzah, berkata tindakan sudah diambil susulan kerugian dialami dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) itu dalam komitmennya terhadap FashionValet.

“Pelaburan Khazanah dalam FashionValet sudah dibuat tujuh tahun lalu. Sejak itu, pendekatan Khazanah dalam membuat keputusan pelaburan sudah dirombak.

“Proses pemilihan pelaburan juga diperketatkan termasuk pelaburan dalam syarikat pelaburan dan modal teroka,” katanya.

Dalam konteks semasa, katanya, selari dengan mandat Ekonomi Madani bagi memangkin ekonomi negara, keperluan untuk menyokong syarikat pemula adalah wajar.

“Pelaburan modal teroka memainkan peranan penting dalam menyokong ekonomi Malaysia, seterusnya membantu negara beralih kepada status pendapatan tinggi melalui inovasi dan pertumbuhan mampan.

“Pelaburan melalui modal teroka berupaya memacu inovasi dengan menyediakan modal bagi syarikat pemula dan perusahaan berpotensi mencipta teknologi baru.

“Selain itu, ia membantu mencipta peluang pekerjaan, merangsangkan ekonomi dan perkenal teknologi baharu dari pasaran luar ke Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan sedar terdapat elemen ketidakjaminan dalam pelaburan membabitkan modal teroka.

“Menyedari risiko dalam modal teroka dan ekuiti persendirian, kedua-dua pihak (PNB dan Khazanah) berpendapat pelaburan ini harus diurus mengambil kira prestasi berasaskan portfolio pelaburan secara keseluruhan, bukan pelaburan sendiri.

“Sebagai contoh, pelaburan Khazanah dalam perniagaan tenusu tempatan melalui syarikat Farm Fresh. Ia modal teroka dalam sektor pertanian yang memberikan pulangan 13 kali ganda iaitu melebihi RM800 juta,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *