KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) mengambil beberapa langkah penambahbaikan bagi mencegah insiden buli di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) termasuk meningkatkan pemantauan dan mengasingkan tempat penginapan penuntut senior serta junior.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang berkata, ia sudah dilaksanakan secara berperingkat sejak Januari lalu yang bermula dengan pemasangan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di setiap blok penginapan.
Menurutnya, penginapan antara pelajar tahun satu dengan pelajar senior diasingkan dan ‘roll call’ antara pelajar terbabit juga diasingkan bermula Oktober lalu.
“Jika keadaan menjadi tidak terkawal, saya hanya berkongsinya sebagai contoh dan tidak mengatakan ia akan berlaku (sekali lagi), tetapi mereka boleh membuat ‘roll call’ setiap masa walaupun pada jam 2 pagi atau 4 pagi.
“Apabila panggilan dibuat, mereka perlu memakai pakaian seragam dan membawa senjata serta perlu beratur,” katanya dipetik Harian Metro pada sidang media selepas melancarkan sambutan Hari Integriti 2024 peringkat Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan Ketua Setiausaha Mindef, Datuk Lokman Hakim Ali.
Mohamed Khaled berkata, buat masa ini tiada keperluan untuk meletakkan wardar di setiap asrama ALK UPNM.
Beliau turut menjelaskan bahawa penuntut di ALK UPNM adalah di bawah kementeriannya berbeza dengan penuntut lain di UPNM yang terletak di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.
Menurutnya, UPNM mempunyai 4,200 penuntut dan daripada jumlah itu, seramai 957 penuntut adalah pegawai kadet ALK.
Justeru, katanya, adalah tidak wajar melabelkan UPNM dengan pelbagai gelaran susulan kejadian buli membabitkan dua penuntut ALK.
“UPNM adalah sebuah universiti yang bukan hanya menampung keperluan Mindef dengan memberi tempat kepada kadet tetapi juga mempunyai penuntut awam lain.
“Kalau berlaku pelanggaran disiplin dalam universiti maka itu tanggungjawab pihak itu tapi semua (dua kes buli) berlaku semasa di asrama ALK dan semasa latihan ketenteraan.
“Jadi tidak wajar untuk melabelkan UPNM dengan pelbagai nama kerana ini berlaku dalam ALK di bawah Mindef,” katanya.
Kata beliau, kementeriannya sepanjang masa mengamalkan keterbukaan untuk menerima sebarang maklumat berhubung kelakuan menyalahi disiplin dengan mana-mana individu terbabit boleh membuat laporan untuk siasatan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252