JOHOR BAHRU – Seorang suri rumah dihadap ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atar tuduhan bersubahat dengan tiga individu melakukan penculikan seorang lelaki bagi tujuan menuntut wang tebusan RM20 juta, bulan lalu.
Tertuduh, Chan Wan Kooi, 57, faham pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Hazeelia Muhammad.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ibu tiga anak itu dan nenek kepada empat cucu itu memandangkan kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan persubahatan jenayah dengan Chong Shih Ming, Luong Van Tung dan Tran Van Chung menculik seorang lelaki berusia 59 tahun dengan tujuan menuntut wang tebusan sebanyak RM20 juta.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah dekat Jalan Straits View di sini, kira-kira jam 5 pagi, 13 Oktober lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 (Akta 365) dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 40 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Umar Faiz Abdul Kohar, manakala tertuduh diwakili Peguam Datuk Jagjit Singh Bant Singh.
Mahkamah menetap tiada sebarang jaminan dibenarkan, selain kes disebut semula pada 17 November ini.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252