IPOH – Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengetuai senarai 213 penerima Darjah Kebesaran serta Pingat Negeri Perak sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-68 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, hari ini.
Syed Danial penerima Darjah Datuk Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri, selain darjah sama turut dikurniakan kepada Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Pengerusi Eksekutif Yee Lee Corporation Sdn Bhd yang juga Pengerusi Eksekutif Spritzer Berhad, Datuk Lim Kok Cheong @ Lim A Heng.
Menyusuli tiga individu itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron yang dikurniakan selaku penerima tunggal Darjah Datuk Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk.
Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang turut membawa gelaran Datuk, dikurniakan kepada lapan penerima iaitu bekas pegawai undang-undang PETRONAS sebelum bersara sebagai Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Kumpulan PETRONAS, Abdul Rahim Mydin.
Beliau juga adalah penulis undangan akhbar New Straits Times (NST).
Selain itu, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah (UPSI), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff; Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim.
DPMP turut dikurniakan kepada Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Salasiah Abdul Wahab; Pengerusi Lembaga Penasihat Jabatan Perdana Menteri, Yong Zarida Sazali; Duta Besar Kedutaan Malaysia The Hague Belanda, Roseli Abdul; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc), Anuar Zainal Abidin dan Ketua Perkhidmatan Otorinolaringologi Hospital Raja Permaisuri Bainun, Dr D Philip Rajan.
Darjah Datuk Pahlawan Taming Sari (DPTS) pula yang juga membawa gelaran Datuk, dikurniakan kepada enam penerima iaitu Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri; Pengarah Cawangan Khas PDRM, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail; Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti PDRM, Senior Asisten Komisioner Ng Kong Soon.
DPTS turut dikurniakan kepada Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral CS Maniam Thevendran; Pakar Obstetrik & Ginekologi ATM, Brigedier Jeneral Dr Sharifah Sofiah Syed Zainol dan Panglima Wilayah Laut 1 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Muda Farizal Myeor.
Pengarang Kumpulan NST, Farrah Naz Karim turut tersenarai sebagai seorang daripada 28 penerima Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP). Istiadat diadakan di Istana Iskandariah
Pada sidang media semalam, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata, istiadat penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak tahun ini akan dibuat melalui dua sesi, iaitu pada Sabtu 9 November ini bagi 18 penerima Darjah Kebesaran yang membawa gelaran.
Katanya, bagi penerima darjah kebesaran serta pingat selebihnya yang tidak membawa gelaran, istiadat penganugerahan akan dilangsungkan pada Sabtu, 16 November, dengan kedua-dua sesi istiadat itu akan berlangsung di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, lapor BHNews.
Atas sifat ihsan Sultan Nazrin sempena hari keputeraan baginda terhadap kebajikan banduan dan tahanan yang sedang menjalani hukuman di penjara, pusat koreksional dan pusat pemulihan akhlak di Perak, baginda juga menzahirkan perkenan bagi membiayai hidangan makanan tengah hari istimewa hari ini membabitkan 7,800 banduan.
Ini meliputi lima institusi penjara iaitu Penjara Taiping; Penjara Tapah; Pusat Koreksional Kamunting; Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah dan Rumah Perantaraan Penjara Negeri Perak.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252