BERITA UTAMA
Polis lepas tembakan, tahan lelaki disyaki curi kabel TNB

Polis lepas tembakan, tahan lelaki disyaki curi kabel TNB

GEORGE TOWN – Polis berjaya menahan seorang lelaki dipercayai terlibat kes curi kabel tembaga Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas melepaskan tembakan ke arah tayar kereta dipandunya ketika cuba melarikan diri di Jalan Kelawai, di sini hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Lee Swee Sake berkata terdahulu lelaki berusia 32 tahun itu dikesan berada dalam keadaan mencurigakan berhampiran Bilik Pencawang TNB Jalan Kelawai oleh anggota polis yang melakukan rondaan, kira-kira 5.30 petang.

“Ketika anggota polis mahu memeriksanya, lelaki terbabit bertindak memecut keretanya dan ingin melanggar anggota berkenaan. Lelaki itu turut memandu secara berbahaya hingga melanggar beberapa kenderaan lain yang berada di situ.

“Anggota polis terpaksa melepaskan dua das tembakan bagi menghentikan kereta itu dan terkena pada tayar hadapan sebelah kiri kereta. Kenderaan itu bagaimanapun terus bergerak sebelum terpaksa diberhentikan 200 meter dari tempat kejadian akibat tayar pancit manakala lelaki itu sempat melarikan diri,” katanya dihubungi malam ini.

Beliau berkata lelaki itu kemudian berjaya ditahan ketika bersembunyi di sebuah kompleks beli-belah di Midlands, di sini kira-kira 500 meter dari tempat dia meninggalkan keretanya.

Lee berkata lelaki itu dipercayai terlibat dalam kes curi kabel tembaga di bilik pencawang TNB, namun siasatan lanjut berkaitan penglibatannya sedang dijalankan. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *