KUCHING – Lima pekayuh perahu regatta dikhuatiri lemas selepas karam di kawasan Royal Bay Commercial Centre Jalan Buruh Bintawa, di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 4.20 semalam apabila perahu membawa 16 pekayuh itu karam ketika menjalani latihan Regatta Sarawak, yang bakal berlangsung bermula 1 hingga 3 November ini.
“Sebelas orang berjaya menyelamatkan diri dan lima lagi masih gagal dijumpai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, lima mangsa terbabit dikenali sebagai Mohammad Ikhmal Sama’ail, 34; Majurie Maharuf, 32; Mohd Afiq Isyamudin Asaari, 26; Mohamad Khairul Bidin, 26; dan Muhammad Khairul Hisham Kasturi, 23.
Menjelas lanjut, beliau berkata, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dan BBP Batu Lintang telah digerakkan ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR), lapor KOSMO!.
Katanya, operasi SAR dimulakan dengan melakukan pencarian di permukaan air sebelum diteruskan oleh Polis Gerakan Udara (PGU) dengan menggunakan dron dan pencarian menggunakan ‘sonar’ oleh Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS).
Beliau menambah, setakat jam 8.54 malam tadi, pencarian turut dilakukan secara selaman oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba, namun ia tidak dapat diteruskan kerana arus sungai deras. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252