LONDON: Chelsea berada di landasan yang betul di bawah pengendali dari Itali, Enzo Maresca, kata legenda kelab, Giafranco Zola.
Zola, yang bermain untuk Chelsea dari tahun 1996 hingga 2003 dan memenangi dua Piala FA, satu Piala Liga dan Piala Juara-Juara Piala UEFA, menyokong usaha rakan senegaranya itu di Stamford Bridge, tetapi menekankan yang pemburuan trofi akan menjadi lebih sukar.
“Dia tertekan (untuk memenangi trofi). Keadaan kini berbeza, kerana di masa lalu pengendali ketika itu mempunyai pasukan yang hebat.
“Dia (Maresca) juga mempunyai pasukan yang bagus, tetapi pemain-pemain yang sangat muda dan masih perlu dibentuk.
“Setakat ini dia melakukannya dengan sangat baik, dan saya sangat berharap dia mampu melaksanakan tugasnya.
“Dia akan mempunyai cabaran sukar kerana saingan di England, semua orang tahu betapa sengitnya ia, tetapi saya suka apa yang dilakukannya dan dia mempunyai peluang,” kata Zola.
Maresca adalah pengendali ketujuh dari Itali dalam sejarah Chelsea dan Zola antara pemain yang paling popular pernah beraksi di Stamford Bridge.
Chelsea, yang kini menghuni tangga keempat Liga Perdana Inggeris, belum pernah tewas sejak kekalahan pada hari pembukaan di tangan Manchester City.
Anak buah Maresca akan berdepan pendahulu liga, Liverpool pada Ahad ini. – REUTERS
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252