KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) minta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjelaskan berhubung tindakan pelajar sebuah sekolah menengah di Pulau Pinang mengibarkan bendera negara China.
Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris menegaskan, menteri itu perlu menjelaskan kepada rakyat Malaysia apa sedang berlaku sekarang di negeri dipimpin kerajaan DAP.
“Merujuk gambar dan video yang tular di media sosial baru baru ini, bagaimana sebuah sekolah di Pulau Pinang boleh mengibarkan bendera dari negara China?
“Apa sedang berlaku di negara kita? Adakah proses ‘mengchinakan’ negara Malaysia sedang meresap masuk dalam sekolah? Menteri Pendidikan perlu jelaskan kejadian berlaku di sekolah menengah swasta ini.
“Kita mahu tahu apa tindakan dari pihak kementerian mengenai perkara ini,” tegasnya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Kelmarin, Fadhlina dalam kenyataan balasnya memaklumkan, dakwaan mengenai kehadiran tentera dari China ke sebuah sekolah persendirian di Pulau Pinang Sabtu lalu, sebagai tidak benar.
Sebaliknya, beliau berkata, kumpulan berpakaian seragam seperti tentera itu sebenarnya adalah penuntut termasuk pensyarah dari Naval University of China.
Beliau menyatakan, rombongan 165 penuntut dan pensyarah itu adalah berkaitan dengan program sempena 50 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.
Mengulas lanjut, Irwan Fahmi berkata, kalau pelajar sekolah swasta dibenarkan mengibar bendera negara asing sebagai menghormati hubungan diplomatik 50 tahun Malaysia-China, maka tidak salah kalau pelajar tahfiz akan mula mengibarkan bendera Palestin atau Iran sebagai menghormati saudara seIslam.
“Walaupun sekolah menengah swasta tidak mengikuti silibus ditetapkan kementerian, mereka tidak ada kebebasan mutlak untuk melakukan apa saja aktiviti yang melanggar peraturan hingga mencemarkan imej sesebuah sekolah.
“Justeru, Perkasa menggesa KPM mengambil tindakan menggantung lesen sekolah tersebut sebagaimana garis panduan melarang bendera Palestin dibawa masuk ke sekolah, kononnya membawa ideologi pengganas.
“Sekarang pelajar sekolah menengah dibenarkan mengibarkan bendera China atas alasan hubungan diplomatik,” katanya.
Pada masa sama, Perkasa turut menggesa penjelasan dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan mengenai lawatan yang menggunakan kapal perang. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252