Pengadil dedah sikap Ronaldo di atas padang

Pengadil dedah sikap Ronaldo di atas padang

RIYADH – Salah seorang pengadil yang pernah bertegang leher dengan Cristiano Ronaldo menceritakan pengalamannya bekerja dengan bintang Portugal dan Al-Nassr itu.

Said Martinez pernah mengadili beberapa perlawanan membabitkan Ronaldo sepanjang kariernya dan tidak dapat melupakan satu insiden panas dengan pemenang lima kali Ballon d’Or itu.

Martinez ketika itu sedang mengadil perlawanan Liga Pro Saudi dan dia membatalkan jaringan pemain 39 tahun itu kerana ofsaid.

Ronaldo mempersoalkan keputusan pengadil dari Honduras itu ketika rehat tetapi kemudian meminta maaf kepada Martinez.

“Cristiano Ronaldo sukar ditangani kerana sikap panas barannya. Dia seorang yang sangat berdaya saing, sering merasakan keputusan ke atasnya tidak adil, jadi dia sering merungut.

“Kami membatalkan dua gol jaringannya, dengan bantuan VAR, tetapi ada insiden yang membuatkan dia sangat marah. Dia mendakwa dikasari sebelum lawan membolosi gawang mereka. Mereka sedang ketinggalan.

“Dia berdiri 10 meter dari saya dan berkata; ‘Anda semua sama sahaja, anda fikir andalah bintangnya, tetapi kami bawa anda ke sini bukan untuk menjadi bintang, kami adalah bintangnya’.

“Dia bermula tenang tetapi kemudian semakin berang dan saya hanya memerhatikannya untuk melihat jika dia menghampiri saya, tetapi dia tidak melakukannya,” kata Martinez.

Martinez memeriksa rakaman gol-gol Ronaldo yang dibatalkannya dan kemudian bercakap dengan Ronaldo ketika dalam terowong, kapten Al-Nassr itu akhirnya memohon maaf di atas tindakannya.

“Selepas memeriksa VAR, saya meminta dia untuk datang melihat. Cristiano tetap Cristiano, jika dia tidak mahu datang, dia tidak akan datang.

“Tetapi dia datang juga akhirnya dan saya katakan padanya: ‘Anda pemain yang hebat, tetapi apa yang anda katakan ketika rehat tidak wajar. Saya hormati anda, tetapi kami di sini datang melakukan tugas kami seperti anda.’

“Dia kemudian menjawab; ‘Iya, anda betul. Cara saya tidak betul. Saya mohon maaf.’ Di babak kedua dia tidak merungut lagi dan akhirnya menjaringkan gol sepakan percuma yang menarik,” kata Martinez. – AGENSI

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *