KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga emas parah selepas diragut penjenayah bermotosikal dalam kejadian dekat Jalan Limau Manis, Bangsar di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 pagi.
“Mangsa berumur 78 tahun itu sedang berjalan kaki seorang diri ke kedai berhampiran untuk membeli surat khabar yang menjadi rutin hariannya setiap pagi.
“Mangsa didatangi suspek yang menunggang motosikal sebelum menghampiri dari belakang dan meragut beg mangsa,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Katanya, kejadian mengakibatkan mangsa tersembam di atas jalan tar.
“Mangsa yang parah akibat kejadian kemudiannya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.
“Mangsa mengalami pendarahan di kepala yang agak serius dan masih dalam pemantauan pasukan perubatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya dipetik Sinar Harian.
Difahamkan tiada barang berharga di dalam beg itu yang diragut oleh seorang lelaki menaiki motosikal.
Terdahulu, tular video di media sosial dipercayai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang wanita diragut seorang individu yang menunggang motosikal. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252