‘Bertanding jawatan tertinggi BERSATU bukan seperti bina rumah pondok…’

KUALA TERENGGANU: Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris menafikan wujudnya pakatan antara dua kumpulan menjelang pemilihan parti itu bagi sesi 2024-2027 bulan depan.

Katanya, pertandingan merebut jawatan tertinggi bermula daripada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Naib Presiden, Timbalan Presiden dan Presiden tidak boleh diibaratkan seperti membina rumah pondok, lapor Berita Harian.

“Apabila seseorang pemimpin parti sudah menawarkan diri dan tersenarai sebagai calon serta disahkan Jawatankuasa Pemilihan parti, tiada istilah untuk menarik diri.

“Pemimpin yang sudah menawarkan diri bertanding diingatkan meneruskan perjuangan bagi membantu parti menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Antarabangsa Paramotor di Dataran Jambatan Angkat, di sini, hari ini.

Selain Razali yang menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden BERSATU, lima calon lain yang turut bertanding ialah Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, A’ziss Zainal Abidin, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Mohd Rafiq Abdullah.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan BERSATU, Saiful Adli Mohd Arshad dilaporkan berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainudin menang tanpa bertanding masing-masing untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri, berkata tiada sebarang pakatan atau penyokong kumpulan tertentu pada pemilihan parti.

Katanya, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh tidak campur tangan dan memberi kebebasan kepada semua pimpinan parti untuk bertanding.

“Kita tegaskan, tiada kumpulan Muhyiddin dan Hamzah pada pemilihan parti, sebaliknya persaingan diadakan dengan penuh keceriaan.

“Semua calon yang menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden dan MPT tidak mengadakan perbincangan dengan Muhyiddin serta Hamzah,” katanya.

Ketika mengulas calon daripada Terengganu yang menawarkan diri bertanding MPT, Razali berkata, Ketua BERSATU Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid yang juga penyandang jawatan itu menawarkan diri bertanding mengekalkan jawatan.

“Ketua BERSATU Bahagian Besut, Datuk Husaimi Hussin juga turut menawarkan diri bertanding jawatan itu pada pemilihan bulan depan,” katanya.


Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *