KOTA TINGGI: Penganjuran larian antarabangsa di Bandar Penawar, Kota Tinggi di sini, adalah di luar pengetahuan Majlis Perbandaran Pengerang (MPP).
MPP menerusi kenyataan di Facebook (FB) memaklumkan, penganjuran acara itu tidak mendapat mana-mana kelulusan dan tiada pemakluman kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.
“Sebarang kesalahan undang-undang termasuk menganjurkan aktiviti yang tiada permit akan diambil tindakan penguatkuasaan oleh MPP di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan Undang-Undang Kecil berkuatkuasa yang digunapakai.
“MPP juga tidak akan memberi kebenaran atau kelonggaran terhadap mana-mana pihak bagi penganjuran acara yang tidak menjaga sensitiviti agama Islam di kawasan pentadbiran MPP.
“Sebarang penganjuran program perlulah membuat permohonan dan mendapatkan kebenaran serta kelulusan terlebih dahulu daripada PBT bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang lagi,” katanya.
Media melaporkan, polis menahan tiga lelaki disyaki berkelakuan tidak senonoh dan lucah ketika program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di Kota Tinggi, semalam.
Dua lelaki warga asing dan seorang lagi warga tempatan berusia 39 hingga 70 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Kota Tinggi, kira-kira jam 10 malam bagi membantu siasatan.
Polis menerima maklumat yang tular itu jam 5 petang semalam dalam FB penduduk Kota Tinggi mengenai acara berkenaan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252