KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu.
Menerusi warkah dikongsikan di laman Facebook Selangor Royal Office, baginda tidak mahu umat Islam sentiasa bermusuhan antara satu sama lain dan menyeru untuk memaafkan sekiranya yang memohon maaf itu berniat ikhlas.
“Di kesempatan ini Beta ingin menasihati Datuk Seri (Sanusi) agar sentiasa menjaga tutur kata serta tatasusila dan jangan terlalu beremosi dan menggunakan perkataan-perkataan yang tidak baik dalam memberi syarahan kepada rakyat jelata terutama sekali bila berada di dalam negeri Selangor.
“Beta tidak mahu rakyat khususnya di Selangor terpengaruh dan terbiasa mendengar kata-kata yang kesat dan tohmahan yang tidak berasas terutama sekali daripada golongan pemimpin. Kelakuan dan tutur kata yang baik ini amatlah penting untuk masa depan karier politik Datuk Seri,” titah baginda pada Khamis.
Sebagai seorang pemimpin, Sultan Sharafuddin menasihatkan Sanusi memikirkan kesan yang akan diperoleh dari setiap tindak tanduk yang telah dilakukan.
Baginda turut berharap agar Sanusi akan terus berjaya dan dipermudahkan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya.
Sanusi pada Rabu mengirimkan warkah permohonan maaf kepada Sultan Sharafuddin untuk kali kedua selepas kali pertama dikemukakan pada 14 Julai tahun lalu.
Sanusi menerusi warkah itu memohon maaf kepada Sultan Sharafuddin kerana terkhilaf kata sewaktu berucap dalam kempen pilihan raya negeri (PRN) pada 11 Julai 2023 di Gombak, Selangor.
Susulan itu, Sanusi menzahirkan rasa kesal dengan kesan negatif yang timbul daripada kenyataan itu dan menyatakan beliau tidak berniat mempersenda Sultan Sharafuddin yang amat disanjunginya.
Kenyataan itu membuatkan beliau dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252