KUALA LUMPUR – Pas disaran menumpukan perhatian kepada strategi baharu dan tidak lagi terlalu berharap pada usaha menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN), kata bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Khairy, yang juga bekas Menteri Kesihatan, menegaskan bahawa langkah tersebut sudah tidak relevan dalam konteks politik semasa.
“Saya rasa ia tidak lagi realistik. Kita sedar bahawa Datuk Seri Ahmad Zahid (Hamidi) kini memegang kedudukan yang sangat kukuh dalam UMNO, dengan pengaruh yang besar serta tiada pesaing yang nyata.
“Tambahan pula, dengan ahli biro politik masing-masing lebih cenderung kepada kepentingan peribadi untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), saya berpendapat perkara ini tidak mungkin berlaku,” katanya menerusi podcast Keluar Sekejap pada Selasa.
Pada 14 September, Pas sekali lagi menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan UMNO melalui MN, dengan syarat kerjasama tersebut tidak melibatkan Ahmad Zahid.
Semasa menyampaikan Ucapan Dasar Presiden di Muktamar Tahunan parti itu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menegaskan bahawa langkah tersebut adalah usaha untuk menyatukan Melayu Islam dan bumiputera.
Mengulas lanjut, Khairy mencadangkan agar Pas memperkukuh strategi dalaman dan menampilkan kebolehan gabungan State Government 4 (SG4) yang diketuai oleh parti itu.
Menurutnya, Pas harus memberi fokus kepada pentadbiran negeri yang stabil serta membuktikan keupayaan mereka dalam melaksanakan dasar yang berkesan, selain menonjolkan barisan kepimpinan baharu.
“Itulah arah yang sepatutnya diambil oleh Pas, bukannya terus mencuba untuk bekerjasama dengan MN atau UMNO,” ujar Khairy.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252