USIM Education-ADTEC Kulim teroka potensi

 USIM Education-ADTEC Kulim teroka potensi

Oleh Armi Azeedin Mazlan

USIM Education dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Kulim, Kedah sedang mengenal pasti ruang kerjasama dalam meneroka potensi kedua-dua agensi berkenaan bagi melahirkan serta membangun tenaga kerja mahir melalui berteknologi tinggi.

Kerjasama itu dilihat peluang kepada USIM Education untuk meletakkan anak syarikat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu sebaris dengan institusi pendidikan negara yang menawarkan program kemahiran berteknologi tinggi.

Ketua Pegawai Operasi USIM Education, Shamsul Kahar Haron berkata, kerjasama ini dilihat boleh memantapkan lagi kedudukan agensi kepunyaan USIM ke tahap lebih gemilang dalam membantu kerajaan melahirkan belia berinovasi tinggi dan kreatif.

“Saya melihat banyak potensi yang boleh kami teroka bersama terutama dalam bidang akademik dan lebih penting kemahiran tinggi. Saya amat teruja dengan hubungan dua hala ini kerana banyak perkara yang boleh kita lakukan dalam usaha membantu industri dalam negara.

“Negara sememangnya alami kekurangan pekerja berteknologi tinggi. Jadi, kebersamaan ADTEC boleh membantu kami di sini menjalankan perkongsian maklumat berteknologi tinggi dalam modul pembelajaran di USIM Education.

“Saya ucapkan terima kasih kepada ADTEC Kulim memilih kami mengenalpasti ruang kerjasama hubungan dua hala yang penuh bermanfaat. Kami amat menghargainya dan pastinya akan melakukannya dengan penuh tanggungjawab,” katanya kepada Nasional Daily.

Sementara itu, Ketua Jabatan Mekatronik ADTEC Kulim, Mohd Hasnan Zakaria, berkata program yang sedang dirancang itu akan mengetengahkan teknologi automasi industri dan elektronik.

“Senario semasa, kebanyakkan pengguna lebih mengutamakan teknologi yang dipanggil AI (Kecerdasan Buatan). Kita akan cuba untuk untuk ketengahkan teknologi berkenaan di USIM Education,” katanya.

Objektif utama penubuhan ADTEC dibawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) adalah untuk membangun tenaga kerja mahir yang kompeten melalui latihan berteknologi tinggi seiring wawasan kerajaan untuk menjadi negara maju.

Selain Kulim, ADTEC juga diwujudkan di Taiping, Perak; Batu Pahat, Johor; Shah Alam, Selangor; Melaka; Kemaman, Terengganu; Jerantut, Pahang dan Bintulu, Sarawak.

“Saya lihat hubungan ini amat baik dalam memastikan negara mencapai matlamat untuk lahirkan generasi berkemahiran tinggi. Sememangnya, generasi ini semakin sukar diperolehi.

“Saya yakin ia akan membuah hasil dengan jayanya. Apatah lagi, USIM Education adalah salah satu agensi di bawah kelolalan USIM yang semua tahu mempunyai pakar dalam bidang masing-masing,” jelas Mohd Hasnan. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *