BERITA UTAMA
Op Global: Kronologi kes GISB setakat 21 September

Op Global: Kronologi kes GISB setakat 21 September

KUALA LUMPUR – Sabtu lalu, polis melakukan Op Global yang menyaksikan serbuan terhadap 20 rumah amal dikaitkan dengan GlSB Holdings Sdn. Bhd. yang didakwa terbabit dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaasuban.

Susulan serbuan itu, seramai 392 penghuni rumah amal berkenaan diselamatkan dan 171 individu berusia antara 17 hingga 64 tahun ditahan.

Berikut kronologi kes itu setakat hari ini:

16 Ogos

Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS) Malaysia menerusi laman rasmi Facebooknya mendedahkan kegiatan ajaran sesat yang didakwa berlaku dalam GISB.

6 Sept

Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin dalam laman rasmi Facebooknya membangkitkan isu keganasan dan kekejaman yang dikaitkan dengan GISB yang memerlukan siasatan dan campur tangan pihak berkuasa.

11 Sept

Polis membuat serbuan terhadap 20 rumah amal dipercayai milik GISB di Selangor dan Negeri Sembilan serta menahan 171 individu bagi membantu siasatan kes mengeksploitasi kanak-kanak dan agama.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengadakan sidang media di Kuantan, Pahang, berhubung operasi pada awal pagi itu.

Beliau mendedahkan, keseluruhan 392 individu lelaki dan perempuan berumur setahun hingga 17 tahun diselamatkan dalam operasi berkenaan.

Daripada jumlah itu, seramai 10 kanak-kanak merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan penghidap autisme yang diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas saringan dibuat.

GISB mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan mereka mengeksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja dan menyatakan pihak mereka tidak akan berkompromi dengan aktiviti yang melanggar undang-undang, khususnya melibatkan kanak-kanak.

12 Sept

Proses dokumentasi kanak-kanak yang diselamatkan diteruskan di Pulapol Kuala Lumpur.

Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas empat pertuduhan penderaan fizikal terhadap empat kanak-kanak perempuan berusia antara lima hingga enam tahun di sebuah pusat asuhan di Seremban yang dikaitkan dengan GISB. Tertuduh mengaku tidak bersalah.

13 Sept

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengadakan sidang media kedua berhubung kes itu dan mendedahkan sejumlah 41 laporan polis berkaitan GISB diterima sejak 2011 hingga September tahun ini.

Seramai 159 individu daripada 171 yang ditahan mendapat kebenaran reman, selebihnya di bawah umur tiada keperluan disiasat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan soal akidah, salah guna kuasa dan agama serta penderaan kanak-kanak perkara serius yang perlu ditangani segera.

14 Sept

Sidang media ketiga Ketua Polis Negara yang menyatakan serbuan terhadap 20 rumah amal melalui Op Global itu adalah hasil risikan dan siasatan polis selama enam bulan.

Siasatan terhadap syarikat itu bagaimanapun telah dijalankan sejak 2011 dan polis telah bertemu dengan wakil PUKAS enam bulan lepas.

15 Sept

Polis mengesahkan 483 individu telah dirakam percakapan terdiri daripada pengadu, saksi, mangsa dan suspek.

Seramai 384 kanak-kanak dan remaja selesai menjalani saringan kesihatan dan hasil saringan itu mendapati terdapat ciri-ciri pengabaian dan penganiayaan.

17 Sept

Ketua Polis Negara mengesahkan sebanyak 96 akaun milik GISB dibekukan, serta empat akaun ditutup melibatkan aset bernilai lebih RM581,000.

Keseluruhan 392 mangsa yang diselamatkan menerusi Op Global selesai jalani saringan kesihatan, elemen jenayah fizikal dan emosi dikesan.

Tiga kertas siasatan berhubung Op Global dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara.

18 Sept

Seorang ahli perniagaan yang juga anggota GISB, Mohamad Riza Makar, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Putrajaya dekat sini atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita pada 9 Sept lepas.

19 Sept

19 individu termasuk pengurusan tertingggi, isteri serta beberapa pemimpin GISB direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Tiga pembantu pengajar sebuah madrasah di Kuala Pilah, yang disyaki mempunyai kaitan dengan GISB, didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual terhadap lima kanak-kanak pada 2022 dan 2023. Mereka mengaku tidak bersalah.

20 Sept

Tujuh lagi individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan GISB ditahan bagi membantu siasatan kes pemerdagangan orang. Mereka termasuk anak bekas pemimpin Al-Arqam Ashaari Mohammad yang merupakan kumpulan Remaja Pembela Ummah (RPU) GISB.

Seorang lagi pembantu pengajar di sebuah madrasah di Kuala Pilah didakwa di Mahkamah Sesyen di Seremban dan mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan melakukan amang seksual terhadap empat kanak-kanak lelaki, tahun lepas.

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa kepercayaan dan ajaran dalam GISB mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

21 Sept

Op Global memasuki fasa keempat di seluruh Semenanjung Malaysia dengan serbuan dilakukan di 82 premis, 186 mangsa terdiri daripada 102 lelaki dan 84 wanita berjaya diselamatkan, manakala 155 suspek terdiri daripada 78 lelaki dan 77 wanita ditahan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, dalam operasi yang disertai JAKIM itu, beberapa risalah mengandungi elemen dipercayai bercanggah dengan ajaran agama Islam serta barang khurafat turut dirampas.

Di Pulau Pinang, empat premis termasuk dua pusat jagaan kanak-kanak dipercayai berkaitan dengan GISB diserbu dan polis merampas enam buku atau kitab disyaki berkaitan dengan ajaran Al Arqam iaitu gerakan yang difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1994.

Di Melaka, sebanyak 285 barangan berkaitan ajaran Al-Arqam termasuk gambar pengasas Al-Arqam Ashaari Muhammad yang turut dikenali sebagai Abuya ditemukan dalam serbuan ke atas 19 premis berkenaan GISB.

Di Kelantan, tiga buah rumah yang dipercayai menjadi penempatan keluarga ketua pegawai eksekutif GISB di Kampung Panji diserbu dan pelbagai jenis buku serta dokumen berkaitan GISB ditemukan ditanam di tepi pinggir sungai selain ada yang turut dibakar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, isu berkaitan doktrin fahaman GISB akan dibincang oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang dari Selasa hingga Khamis ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) giat memantau kandungan media sosial membabitkan GISBH termasuk video lagu yang ditularkan dan dijadikan parodi oleh segelintir masyarakat. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *