Oleh Dr Nur Ayuni Mohd Isa
HARI ini, penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota berlangsung, sekali gus bermula satu lagi episod pilihan raya secara rasmi yang penting dalam landskap politik tanah air. Penamaan calon bakal mengesahkan siapa bakal bertanding meskipun kedua-dua gabungan, iaitu Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sudah menamakan pilihan masing-masing.
Meskipun PRK Mahkota bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara UMNO/BN dan BERSATU/PN, hari ini menentukan berapa calon sebenarnya akan mencuba nasib.
UMNO mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, manakala BERSATU memilih bekas pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai ayam tambatan.
DUN Mahkota di Kluang, Johor mempunyai 66,318 pengundi, termasuk lebih 4,000 anggota tentera dan 400 polis. Dianggarkan 52 peratus pengundi adalah anak muda berusia 39 tahun ke bawah. Kawasan ini mempunyai populasi campuran dari segi etnik dan sosioekonomi, boleh mempengaruhi pola pengundian.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022, calon UMNO/BN memenangi kerusi DUN Mahkota dengan 16,611 undi, manakala calon PH memperoleh 11,445 undi, sementara calon PN mendapat 7,614 undi serta calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) mendapat 555 undi.
Berdasarkan angka ini, BN dijangka dapat mempertahankan kerusi DUN itu dengan majoriti lebih tinggi jika meraih undi pengundi PH.
Walaupun pembentukan kerajaan campuran antara PH dan BN pada awalnya mengejutkan rakyat sebelum ini, kini semakin ramai memahami asas kerjasama ini, diterjemahkan dalam pengundian dan kemenangan beberapa PRK lalu berpihak kepada gabungan PH-BN.
Pada awal kerjasama kedua-dua gabungan ini, terdapat ahli dan penyokong tegar UMNO enggan mengundi calon parti berkenaan sebagai protes terhadap parti dianggap berubah perjuangan asalnya.
Namun, parti bertanding tidak boleh ambil mudah dan selesa, sebaliknya perlu menggunakan strategi bersesuaian dengan demografi kawasan pilihan raya. Parti dan calon perlu mengetahui kekuatan serta kelemahan di setiap pusat daerah mengundi (PDM) serta mengadaptasi strategi kempen untuk disesuaikan dengan keunikan pengundi.
4 faktor pengaruhi pola undi
Pelbagai faktor penting perlu diambil kira boleh mempengaruhi pola pengundian.
Pertama, kepentingan rakyat. Isu tempatan seperti pembangunan infrastruktur, perkhidmatan awam dan kesejahteraan sosial akan menjadi tumpuan utama dalam kempen PRK.
Calon menawarkan penyelesaian kepada masalah tempatan akan mendapat sokongan lebih besar dan menilai kemajuan dicapai penyandang sebelum ini serta isu belum ditangani adalah penting.
Kedua, strategi kempen. Parti perlu menyesuaikan strategi kempen mereka berdasarkan isu utama dihadapi pengundi di DUN Mahkota. Penggunaan media sosial perlu dipertingkatkan untuk menyebarkan mesej politik, menarik pengundi muda dan mendapatkan sokongan lebih luas.
Ketiga, karisma calon. Calon memiliki karisma dan reputasi baik sering memperoleh kelebihan dalam pilihan raya. Personaliti dan rekod prestasi calon adalah penting bagi menarik sokongan pengundi. Calon muda serta mempunyai kredibiliti serta rekod perkhidmatan baik mampu mempengaruhi pengundi.
Keempat, pengaruh parti. Parti dalam gabungan sama ada dalam PH-BN dan PN perlu bekerjasama membantu berkempen. Paling penting, elakkan pemimpin mempunyai kontroversi terbabit dalam kempen kerana ia boleh mengurangkan isu berbangkit. Kekuatan dan kelemahan parti bertanding serta keadaan politik semasa, seperti sokongan rakyat terhadap kerajaan, akan mempengaruhi keputusan undi.
PRK DUN Nenggiri jadi pengukur
Sementara itu, isu nasional atau krisis berlaku pada peringkat negara juga boleh memberi kesan kepada keputusan pengundi pada PRK DUN Mahkota. PRK menjadi platform penting memahami dinamika politik Malaysia, termasuk bagaimana faktor sosioekonomi, kepemimpinan dan strategi mempengaruhi keputusan undi.
Berpandukan analisis mendalam mengenai demografi pengundi dan keperluan tempatan serta penyesuaian strategi kempen, calon dan parti politik dapat meningkatkan peluang mereka untuk meraih sokongan.
Faktor lain seperti isu tempatan, reputasi calon, pengaruh parti dan keadaan politik semasa adalah kunci menentukan hasil keputusan pilihan raya. Kesedaran terhadap faktor ini akan membantu dalam merancang kempen lebih efektif dan memenuhi harapan pengundi.
Pada masa sama, prestasi kerajaan negeri dan Persekutuan menjadi faktor pemberat kepada pola pengundian di DUN Mahkota, selain pencapaian serta kestabilan kerjasama politik PH-BN turut menjadi faktor sokongan pengundi.
Pengumuman mengenai dasar baik Kerajaan MADANI juga pasti mempengaruhi pengundi membuat pilihan seperti kenaikan gaji penjawat awam, pelaburan asing, pengukuhan nilai ringgit dan kesejahteraan hidup.
Di samping itu, kekalahan PN pada PRK DUN Nenggiri bulan lalu juga boleh menjadi kayu ukur kepada hubungan kerjasama parti gabungan PN dilihat kurang memberangsangkan.
Oleh itu, PN perlu menyelesaikan konflik dalam mereka bagi mengembalikan keyakinan dan sokongan rakyat. Jika konflik dalaman ini berterusan, tidak mustahil ia akan mengurangkan peluang PN untuk melakukan kejutan di DUN Mahkota.
Penulis adalah Penganalisis Politik, Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252