KUALA LUMPUR: Selari perubahan dasar pendidikan negara dan akses pendidikan menengah atas, had kelayakan minimum bagi kemasukan dalam perkhidmatan awam kini ditetapkan pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Berikutan itu, 11 skim perkhidmatan dengan kelayakan masuk membabitkan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) atau Penilaian Menengah Rendah (PMR), akan dinaik taraf kepada skim perkhidmatan berkelayakan SPM.
Menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan, skim perkhidmatan terbabit ialah pengawas hutan dengan gred jawatan Sistem Saraan Malaysia (SSM) serta pembantu hidupan liar, masing-masing Gred G11 dan G14.
Seterusnya, pemandu kenderaan, pemandu atau operator jentera pemunggah, pembantu awam serta operator loji, masing-masing membabitkan Gred H11, H14, H16 dan H18.
Pengawal keselamatan (KP11, KP14, KP16 dan KP18); pembantu perawatan kesihatan (U11, U14, U16 dan U18); serta bentara Parlimen, penghantar notis dan pembantu operasi (N11, N14, N16 dan N18).
Menurut pekeliling itu, skim perkhidmatan pemandu kenderaan, pemandu atau operator jentera pemunggah, pembantu awam, operator loji, bentara Parlimen, penghantar notis dan pembantu operasi digabungkan sebagai satu skim perkhidmatan baharu berkelayakan SPM, iaitu pembantu khidmat am serta diklasifikasikan sebagai Perkhidmatan Kemahiran (H).
Penyandang sedia ada pula ditukar lantik ke skim perkhidmatan pembantu khidmat am.
“Skim perkhidmatan pembantu perawatan kesihatan juga dinaik taraf ke skim perkhidmatan berkelayakan SPM, dengan penyandang sedia ada ditukar lantik ke skim perkhidmatan berkenaan.
“Selain itu, skim perkhidmatan pengawal keselamatan dijumudkan dan penyandang sedia ada ditukar lantik ke skim perkhidmatan pembantu keselamatan yang berkelayakan SPM,” menurut pekeliling terbabit yang disiarkan menerusi laman sesawang JPA, semalam.
Pada masa sama, skim perkhidmatan pengawas hutan dan pembantu hidupan liar berkelayakan PT3 atau PMR juga akan dimansuhkan, dengan penyandang sedia ada ditukar lantik ke skim perkhidmatan pengawas hutan dan pembantu hidupan liar berkelayakan SPM.
Dalam pada itu, pekeliling itu turut memaklumkan sebanyak 26 skim perkhidmatan berkelayakan SPM diperluaskan kelayakan Sijil Vokasional Malaysia (SVM).
Sebanyak 11 skim perkhidmatan berkelayakan diploma dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia pula diperluaskan kelayakan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) serta Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM).
Penetapan kelayakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) itu mengambil kira bidang bersesuaian dengan skop tugas dalam skim perkhidmatan berkaitan, selain memberi peluang kepada calon berkemahiran untuk menyertai perkhidmatan awam.
Untuk makluman lanjut, boleh layari https://sspa.jpa.gov.my/index.php/pekeliling. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252