BERITA UTAMA
USIM Education terus mendunia

USIM Education terus mendunia

MESKIPUN baru menjengah usia dua tahun sejak penubuhan sekitar 2022, pengurusan USIM Education and Skills Sdn. Bhd. (USIM Education) tidak menoleh ke belakang lagi apabila bergerak pantas untuk meletakkan diri mereka sebaris dengan agensi pendidikan negara ke tahap lebih tinggi.

Bagi mereka, tiada langsung istilah penat untuk mengejar impian sebagai salah sebuah organisasi yang dikenali bukan sahaja di seluruh negara, malah menjadi idaman pencinta dalam bidang pendidikan seantero dunia.

“Pada awal penubuhan, kami memang bermula secara tidak konsisten, tetapi agak tersusun. Kerana, keutamaan dalam modus operandi syarikat ini adalah mencari formula terbaik dalam setiap persaingan.

“Kami menggunakan sepenuhnya apa yang ada di USIM seperti bekerjasama dengan fakulti untuk menjayakan sesebuah program. Dari situ, kami memikirkan untuk bergerak lebih aktif dengan mempelawa agensi luar bekerjasama dengan kami.

“Pihak lembaga pengarah memberi sepenuh kepercayaan kepada kami menjayakan apa sahaja program yang membawa kebaikan kepada universiti dan sebagai anak syarikat milik penuh USIM kami ingin mencari kelainan dalam menjayakan program bertaraf antarabangsa,” kata Ketua Pegawai Operasi USIM Education, Shamsul Kahar Haron kepada Nasional Daily.

Shamsul Kahar
Shamsul Kahar

Dengan berkat kesungguhan, kata beliau, USIM Education bakal bekerjasama dengan Malaysia Middle East Education (MMEE) yang berpusat di Dubai untuk memperkenalkan program Kampus Pesisir di Kuwait dan Lubnan.

“Program yang bakal diperkenalkan sudah berada di perbincangan akhir bersama MMEE dan pada awalnya ia membabitkan pelajar dari Kuwait dan Lubnan untuk program ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PHD).

“Jika tiada masalah, kemungkinan besar ia akan dilaksanakan pada bulan depan (Oktober 2024). Pada awal pelaksanaannya, kami mungkin mengambil 250 pelajar dari kedua-dua negara yang mengikuti pembelajaran secara maya (online).

“Dari pihak kami pula, tenaga pengajar dari PACE USIM (Pusat Kemajuan Profesional dan Pendidikan Berterusan atau dikenali sebagai Professional Advancement & Continuing Education Centre) menjayakan program Pesisir Kampus ini.

“Program ini hanya memberi keutamaan kepada bidang yang berkaitan dalam Bahasa Arab sebagai bahasa pengantar. Cuma program yang bakal dilancarkan ini akan disusun oleh pihak tenaga pengajar PACE dan MMEE,” katanya.

Untuk pengetahuan, penubuhan PACE adalah selari dengan pelan strategik USIM dalam membina dan mengekalkan kelestarian perhubungan strategik antara universiti dengan institusi pengajian tinggi, industri dan masyarakat luar.

Di samping turut memberi impak kepada imej USIM dalam negara dan di persada antarabangsa, USIM PACE berperanan menggerakkan pakar yang berkhidmat di universiti berkenaan untuk melahirkan graduan berintegrasi Ilmu Naqli dan Aqli selari dengan misi serta visi institusi berkenaan.

USIM PACE juga ditubuhkan dengan tujuan menawar, mengurus serta menyelaraskan pengkomersialan program akademik dan kursus Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).

Sebelum ditubuhkan secara rasmi pada 1 April 2024, USIM PACE dinamakan sebagai Unit Pembelajaran Sepanjang Hayat (UPSH) yang diletakkan di bawah kelolaan Pejabat Penolong Naib Canselor (Penjanaan dan Kelestarian Kewangan).

Demi memenuhi tuntutan keperluan masyarakat berilmu negara dan melihat kepada permintaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat setempat mahupun luar negara, pihak pengurusan USIM akhirnya bersetuju untuk menaiktaraf UPSH sebagai salah satu Pusat Tanggungjawab PTj, USIM PACE.

Sebagai anak syarikat milik penuh USIM, kata Shamsul Kahar, pihaknya akan terus melakar sejarah untuk memastikan USIM terus dikenali di seluruh dunia dan memastikan lebih ramai pelajar antarabangsa mengikuti pembelajaran di institusi pengajian itu.

“Kami memang bercita-cita besar untuk melihat USIM berdiri lebih tinggi dari sekarang. Apa yang penting kami tidak mahu menoleh ke belakang dalam menjayakan program terbaik buat USIM dan USIM Education,”katanya.

Ditanya mengenai yuran pembelajaran yang bakal diperkenalkan kepada pelajar berkenaan, jelas Shamsul Kahar lagi, ia akan dbincangkan dalam tempoh terdekat bersama pihak MMEE dan USIM PACE.

Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi USIM Education, Abdol Halim Hassim berkata, beliau melihat program terbabit satu pencapaian yang begitu tinggi kepada universiti dan agensi sekiranya ia berlaku.

Abdol Halim

“MMEE sudah membuat pilihan tepat memilih USIM Education sebagai rakan strategi mereka menjayakan program Pesisir Kampus ini. Kami begitu bangga kerana nama USIM agak gah di persada antarabangsa.

“Saya melihat ia akan pergi lebih jauh dan akan mendapat sambutan kerana USIM sememangnya mempunyai pakar yang amat mahir berbahasa Arab. Ia satu kelebihan buat kami kerana ramai yang pandai berbahasa Arab dan semestinya menjadi tarikan buat pelajar di Timur Tengah.

“Kami di USIM Education begitu berbangga dengan pencapaian ini dan mengharapkan ia menjadi ikutan kepada agensi lain untuk bekerjasama dengan kami menjayakan program menarik seramai mungkin pelajar antarabangsa mengikuti pengajian di USIM,” kata Abdol Halim. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *