LAHAD DATU – Jabatan Hidupan Liar terpaksa menembak mati seekor buaya di Sungai Matamba di sini, selepas membaham seorang pekerja ladang warga Indonesia yang sedang memancing.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, sebanyak lima das tembakan dilepaskan ke arah buaya sepanjang 4.6 meter itu bagi membolehkan mayat Rusdi Tambah, 45, diambil dari mulut reptilia itu.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 10.07 pagi dan menurut saksi, seorang pekerja ladang yang sedang memancing di tepi sungai disambar buaya dan susulan itu, operasi mencari diaktifkan di radius 500 meter sepanjang laluan sungai.
“Pasukan bomba dan orang awam kemudian menemukan kedudukan mangsa bersama buaya kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa disambar dengan keadaan mangsa masih berada di dalam mulut buaya dan sehubungan itu, laporan dibuat kepada pihak Jabatan Hidupan Liar untuk bantuan lanjut,” menurutnya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia dan tubuhnya dalam keadaan sempurna sebelum diserahkan kepada pihak polis.
“Bangkai buaya itu juga dibawa naik ke darat dan diserahkan kepada pihak Jabatan Hidupan Liar untuk tindakan selanjutnya,” kata beliau sambil menambah operasi ditamatkan pada 1.10 tengah hari. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252