5 pelajar MMRP ke Al-Azhar, Mesir

5 pelajar MMRP ke Al-Azhar, Mesir

Abd. Ghaffar Daud

KOTA BHARU – Kerajaan Pas Kelantan memperuntukkan sebanyak RM125.2 juta untuk 93 sekolah agama di negeri ini, kata Menteri Besarnya, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM477,000 disediakan untuk program Tuisyen Rakyat Sejahtera Kelantan dengan sekolah di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mendapat kira-kira RM10,000.

Katanya, peruntukan itu bagi memastikan anak-anak yang menimba ilmu di sekolah agama di negeri itu dapat mencapai kejayaan cemerlang dan tidak ketinggalan dalam pelajaran.

“Kita harap dengan adanya peruntukan ini, segala pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah agama di Kelantan tidak terbantut, malah membolehkan anak-anak belajar dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan Kecemerlangan Peperiksaan dan Pelajar Ke Timur Tengah serta perasmian Tuisyen Rakyat Sejahtera Kelantan di Dewan Besar, Kompleks Pentadbiran Yayasan Islam Kelantan (YIK), Tunjong, dekat sini, semalam.

 Turut hadir, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohamed Dr. Fadzli Hassan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Wan Roslan Wan Hamat; timbalannya, Kamaruzaman Mohamad; dan Pengarah Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN), Nik Jessim Nik Hashim.

Dalam ucapan itu, Nassuruddin menekankan betapa pentingnya ilmu dalam setiap kehidupan manusia, yang mana ia perlu dituntut sebanyak mungkin kerana harta dan pangkat tanpa ilmu boleh merosakkan segala-galanya.

Beliau juga menasihatkan pelajar memberi tumpuan sepenuh masa dan ruang untuk mendalami mengenai ilmu agama.

“Saya harap ambillah sikap sentiasa bertanya kepada guru-guru kalau tidak memahami apa yang dipelajari. Insya-Allah, kita akan menjadi pelajar yang cemerlang.

“Tambahan pula, mak ayah sangat mengharapkan kejayaan kita sebagai anak demi untuk kesejahteraan keluarga dan masyarakat umumnya,” kata beliau.

 Seramai 97 pelajar menerima sumbangan wang saku bagi melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah yang dijangkakan bertolak pada 28 September ini.

Dari jumlah itu, seramai 62 pelajar bawah pentadbiran Yayasan Islam Kelantan (YIK) melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, 17 pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail (KIAS) ke Mesir, 11 (Jordan) dan tujuh (Tunis).

Sementara itu, lima pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Al- Azhar, Mesir adalah dari Maahad Muhammadi Rantau Panjang (MMRP) lulus cemerlang STAM 2022 dan 2023. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *