KUALA LUMPUR: Pelumba yang pernah membawa nama Malaysia ke peringkat Asia dan antarabangsa, Elly Idzlianizar Elias, 40 meninggal dunia, semalam.
Perkembangan mendukacitakan itu dikongsikan adik Allahyarham, Elly Idzliaikmal Elias di laman sosial miliknya, lapor BHNews.
“Selamat jalan abang ku #16. Semoga tenang di negeri abadi abang sayangku. Moga ditempatkan di syurga. Tunggu kami di sana abang. Nanti kita jumpa di sana abang,” kongsi Elly Idzliaikmal.
Dikenali sebagai pelumba yang berbakat besar, Allahyarham mula mencipta nama di arena perlumbaan tempatan Cub Prix.
Berjaya menjulang beberapa kejuaraan bersama pelbagai pengeluar antaranya Yamaha, Honda dan Suzuki, Allahyarham turut terpilih menyertai program pencarian pelumba ‘wildcard’ negara untuk beraksi di Grand Prix Malaysia pada tahun 2009.
Berikutan bakat dimilikinya, Allahyarham terpilih untuk menyertai program berkenaan bersama Zulfahmi Khairuddin dalam kelas 125cc bersama pasukan Air Asia.
Selepas menggantung sut lumbanya, Allahyarham juga pernah menceburkan diri dalam arena pengacaraan dan menjadi pengulas perlumbaan bersama Cub Prix.
Selain itu, Allahyarham turut memiliki buku autobiografi bertajuk Evolusi Elly ‘Daripada rempit kepada juara’ yang diterbitkan pada tahun 2010.
Jenazah Allahyarham difahamkan dihantar ke Hospital Alor Setar untuk menjalani proses bedah siasat bagi menentukan punca kematiannya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252