BERITA UTAMA
Mahu kubur ada ‘Spotlight’

Mahu kubur ada ‘spotlight’

Oleh Manzaidi Mohd Amin

TANPA mengira usia dan keringat yang sepatutnya sudah berehat di rumah bersama keluarga, mantan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa (IIC), Shamsul Kahar Harun tetap mempertaruhkan pengalaman yang ada untuk berbakti demi mencari keberkatan Ilahi.

Menurut Shamsul Kahar, selepas setahun setengah menamatkan perkhidmatan di IIC (pencen) beliau dipanggil untuk menyertai USIM Education and Skill Sdn. Bhd. (USIM Education) salah sebuah anak syarikat milik penuh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang berpengkalan di Nilai, Negeri Sembilan.

Katanya, ketika sedang berehat di rumah, beliau menerima panggilan dari Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani (Nik Hassan Thani) – Pengerusi Lembaga Pengarah USIM – tahun lalu selepas setahun setengah pencen di IIC, memintanya membantu USIM Education sepertimana pernah dilakukannya di IIC.

“Selepas berfikir dan berbincang bersama keluarga serta teman rapat, tidak sangka saya mendapat reaksi positif dari mereka. Namun, saya belum memberi jawapan kerana bimbang ia tidak sama seperti saya masih di IIC.

“Saya bimbang apa yang ingin saya lakukan tidak mencapai tahap yang dikehendaki pengurusan serta Lembaga Pengarah syarikat. Sudah tentu di usia sebegini banyak cabaran yang bakal ditempuhi seperti tempat, rakan dan pengalaman baru.

“Selepas berfikir panjang, saya teringat pesanan Almarhum bonda saya yang pernah berkata bahawa ‘kita bukan saja mahu cari duit dengan gaji yang ada’ tetapi kita perlu mencari keredhaan Allah apabila kita sudah tiada,” kata beliau kepada Nasional Daily.

Daripada kata-kata Almarhum bondanya itu, tersemat di hatinya untuk mencari sesuatu kelainan dalam diri, apatah lagi mencuba benda baharu bagi memastikan perjuangannya dalam arena pendidikan negara berterusan sepanjang hayat.

“Pada mulanya, saya bertugas di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai pegawai kanan menjaga hal ehwal pelajar dan ketika itu Dr Nik Norzrul Thani adalah dekan Bahagaian Hal Ehwal Pelajar.

“UIAM menubuhkan sebuah syarikat dipanggil IIUM Holdings Sdn. Bhd. yang bertujuan mencari dana buat universiti. Mereka mewujudkan anak syarikat berkonsepkan pendidikan untuk membantu golongan pelajar yang tidak terpilih memasuki universiti tempatan.

“Ketika itu, Timbalan Rektor UIAM (mantan), Prof Datuk Dr Jamil (Othman) memanggil saya untuk bantu mereka mengendalikan sebuah kolej (kini IIC) supaya pelajar yang tercicir di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dapat teruskan pengajian mereka di peringkat lebih tinggi,” jelas beliau lagi.

Menurut Shamsul Kahar, pada awalnya, beliau menolak kerana memandangkan sudah selesa bekerja di Bahagian Pelajar dan menjawat kedudukan (jawatan) baik sebagai kakitangan kerajaan, apatah lagi memiliki rakan yang sudah biasa dengannya.

Beliau yang menyambut ulang tahun ke-62 pada 3 September baru-baru ini, menyatakan dirinya tidak langsung berminat mengendalikan sebuah kolej, apatah lagi tahu persaingan di luar sana amat sengit dan memerlukan kaedah tersendiri bagi menjayakan sesuatu benda baru.

“Tidak ada langsung minat saya ke arah itu kerana jiwa saya sudah melekat kuat di Bahagian Pelajar (UIAM), namun saya sekali lagi dipanggil oleh Datuk Jamil dan memberi kata-kata hikmat yang sehingga kini tidak dilupakan dan menjadi pegangan dalam hidup saya.

“Beliau (Datuk Jamil) beritahu saya kita bukan sahaja mengejar impian untuk makan gaji tinggi, tetapi perlu juga mencari kelainan untuk kita dapat keredhaan Allah. Dia kata pada saya ‘Shamsul tidakkah kamu mahu kubur kamu ada spotlight (cahaya)?

“Kata-kata itu amat mendalam buat saya dan ia seperti satu ‘panahan arjuna’ menembusi dada saya. Saya terdiam dan minta untuk berfikir. Dia terus bersuara kepada saya fikirlah sebaik-baiknya kerana ramai pelajar di luar sana tidak boleh masuk universiti kerajaan kerana kekangan tempat.

“Jika sebuah kolej ditubuhkan, sudah pasti mereka boleh melanjutkan pelajaran dan bila tamat pengajian mereka ini boleh sambung belajar di UIAM. Di sinilah, saya berfikir kata-kata ini sama dengan luahan almarhum bonda saya. Jadi saya menerimanya,” kata Shamsul Kahar lagi.

Pada awalnya, jelas beliau, memang cabaran getir buat dirinya menguruskan perkara yang tidak pernah difikirkannya, ia sesuatu yang berat buat dirinya kerana perlu mengendalikan perkara baru seperti mendapatkan lesen penubuhan kolej, apa jenis program yang akan dibawa dan nama yang akan dibawa serta perlu mengenalpasti kakitangan baru.

“Banyak tekanan menimpa diri saya dan saya akui ia amat susah kerana benda baru. Tapi semangat dan prinsip diri saya tidak sedikitpun mematahkannya. Yang penting, saya terus berdoa dan bertawakkal kepada Allah SWT.

“Akhirnya saya berjaya dan IIC diwujudkan. Pada awal penubuhan, operasi IIC di Batu 4 Gombak, Kuala Lumpur dan tidak mendapat sambutan. Namun, selepas diperkenalkan secara konsisten dan kerjasama dari kakitangan, IIC mendapat pelajar dari seluruh negara, termasuk luar negara.

“Alhamdullillah IIC berada satu baris dengan kolej terkenal tanah air. Sehinggakan, pada satu ketika kami mempunyai lebih 4000 pelajar dan operasi IIC di bangunan baru (Batu Muda). Saya bersyukur kerana ramai pelajar yang keluar dari IIC belajar di universiti serta mempunyai pekerjaan yang bagus,” kata Shamsul Kahar.

Kini, katanya yang menjawat jawatan Ketua Pegawai Operasi USIM Education beliau diminta untuk membantu agensi itu melaksanakan beberapa program baru dengan meletakkan organisasi berkenaan sebaris dengan penyedia bidang itu.

“Saya ada beberapa perancangan untuk membantu USIM Education berdiri sama tinggi dengan syarikat lain antaranya memperluaskan program TVET anjuran kerajaan serta memperkenalkan lagi bidang baru untuk diketengahkan.

“Saya sudah memulakan beberapa perancangan untuk meningkatkan keupayaan syarikat dan Lembaga pengarah syarikat bersetuju dengan apa yang ingin saya teruskan di sini (USIM Education), saya berharap ia mendapat keberkatan Allah SWT, di samping memenuhi aspirasi pendidikan negara ke tahap lebih tinggi.

“Saya sepatutnya sudah berehat di rumah bersama isteri, anak dan cucu-cucu tetapi dibila dipanggil (bertugas) teringat pula kata-kata hikmat itu, mencari ‘spotlight’ di kubur. In sya Allah saya akan buat yang terbaik demi agama, bangsa dan tanah air,” kata Shamsul Kahar. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *