BERITA UTAMA
Baldatun Thauuibatun gagal dilaksanakan Pas di Kelantan

Sijil halal, Teresa Kok perlu tarik kenyataan sensitif

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok digesa menarik balik kenyataannya mempertikaikan cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi serta alcohol.

Setiausaha Agung Parti Amanah, Faiz Fadzil berkata, pemimpin DAP itu tidak sepatutnya cepat melatah dengan membuat bantahan berhubung cadangan berkenaan.

Katanya, memandangkan idea mewajibkan pensijilan halal ini masih di peringkat cadangan, seharusnya penyokong kerajaan menggunakan saluran lain yang lebih sesuai untuk menyatakan pandangan.

“Pandangan di saluran media berkaitan isu sensitif melibatkan perkara dasar dan hukum Islam seharusnya tidak disentuh di premis umum. Justeru, YB Teresa perlu menarik balik kenyataan beliau tersebut.

“Jika sekalipun cadangan ini dilaksanakan akan melibatkan kos kepada peniaga, kerajaan atau Jakim masih boleh menawarkan inisiatif khusus untuk pensijilan halal ini bagi meringankan poket peniaga.

“Pelaksanaan sijil halal ini penting bagi meningkatkan kualiti produk yang dijual terutama makanan. Penarafan sijil halal ini akan mengesahkan sesuatu produk itu baik dan bersih,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada masa sama Faiz menyifatkan usaha JAKIM itu sebagai cadangan positif kerana jika dilaksanakan sama sekali tidak akan bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya mahupun mengganggu hak beragama sesiapa, kerana konsep halal yang bersifat universal.

Jelas beliau, pensijilan halal ke atas produk makanan kini diamalkan di seluruh dunia termasuk negara yang umat Islam minoriti.

Katanya, mana-mana proses penarafan sesuatu sijil oleh pihak berkuasa adalah bagi menjaga kualiti sesuatu produk bersesuain dengan kehendak dan piawaian yang ditetapkan seperti ISO, MyGAP dan GMP, di mana proses penarafan ini memang melibatkan kos.

“Oleh itu, cadangan pensijilan halal ini tidak perlu dikaitkan dengan faktor kewangan, tetapi perlu dilihat dari faktor peningkatan kualiti produk.

“Cadangan pensijilan halal ini jika dilaksanakan akan mengangkat industri makanan negara ke tahap lebih tinggi di dalam negara dan di peringkat antarabangsa.

“Jika tidak, mana mungkin industri halal Malaysia diceburi secara aktif oleh para usahawan Bumiputera dan bukan bumiputera,” katanya.

Kata Faiz, setakat Julai lalu, 57.6 peratus daripada 9,146 syarikat yang mempunyai sijil halal JAKIM adalah syarikat milik bukan bumiputera dengan hanya 6.1 peratus nilai eksport halal pada tahun 2023 disumbangkan oleh produk keluaran bumiputera.

Katanya lagi, peluasan pensijilan halal di Malaysia akan mengembangkan peluang komersial bagi semua pemain, tanpa mengira kaum dan agama.

“Menjelang 2030, industri halal tempatan dijangka mencecah nilai US$113.2 bilion berbanding hanya US$68.4 bilion pada tahun 2018.

“Dari aspek sumbangan kepada ekonomi pula, industri halal dijangka bernilai 11 peratus daripada KDNK negara tahun 2023 berbanding 7.4 peratus pada 2018.

“Potensi pertumbuhan yang kukuh ini membuka peluang kepada semua pemain, bumiputera mahupun bukan bumiputera, untuk menjana pendapatan yang lebih lumayan,” kata beliau. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *