BERITA UTAMA
Perkasa ingatkan Teresa Kok jangan biadab campuri urusan agama Islam

Perkasa ingatkan Teresa Kok jangan biadab, campuri urusan agama Islam

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mengingatkan Ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok tidak mencampuri urusan agama Islam di negara ini dengan mempertikaikan mengenai sijil halal di restoran.

Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris menegaskan, sekiranya pemimpin DAP itu berada di negara China, boleh mempertikaikannya, tetapi kalau berada di Malaysia, yang majoritinya Islam, beliau tidak layak bersuara sedemikian.

“Perkasa ingin bertanya, YB berada di negara mana? Di negara China atau Malaysia? Adakah kamu sedar majoriti rakyat di Malaysia ini adalah orang Melayu yang beragama Islam?

“Kamu juga perlu perjelaskan maksud sebenar perkara yang boleh memalukan negara jika kerajaan mewajibkan sijil halal ini kepada semua pengusaha kedai makan atau restoran.

“Kamu tidak seharusnya mencampuri urusan orang Islam dengan mempertikaikan mengenai sijil halal, sebaliknya perlu tumpukan sahaja kepada agama serta perjuangan bangsa kamu,” tegas beliau menerusi kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Teresa Kok yang mempertikaikan cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal sebagai berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Ahli Parlimen Seputeh itu dilaporkan berkata, langkah berkenaan kononnya bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya, selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

“Apabila kerajaan mewajibkan premis makanan mempunyai sijil halal, ia dilihat akan menambah beban kepada peniaga kecil,” kata Kok sebagaimana dilaporkan sebuah portal pro parti itu semalam.

Ujar Irwan Fahmi, Perkasa merasa tercabar kerana saban hari agama Islam sebagai agama Persekutuan telah menjadi ancaman dari pihak yang berada dalam kerajaan.

Katanya, tidak cukup dengan sup tulang babi dijadikan makanan warisan negara, kemudian muncul pula cadangan dari pimpinan DAP agar orang bukan Islam menjadi jawatankuasa dalam menggubal undang undang Islam.

“Kali ini muncul pula pertikaian mengenai sijil halal. Untuk makluman Teresa Kok, negara luar seperi kebanyakan negara Eropah juga ada status halal di premis kerana setiap negara ada orang Islam sebagai penduduk.

“Malah, isu halal juga penting kepada orang Islam di negara luar sebab ianya satu tuntutan dalam Islam yang menjadi antara perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. 

“Bukan sahaja babi, katak dan arak haram dalam penyediaan makanan, bahkan kebersihan juga memainkan peranan dalam sijil halal,” katanya.

Beliau menyatakan, orang Melayu dan Islam sudah cukup bertolak ansur sehingga sanggup menerima ternakan babi di negara ini serta minuman keras yang dijual dalam negara.

Justeru, beliau memberi amaran kepada pimpinan kerajaan jangan mencabar kemarahan orang Melayu dengan mempertikaikan apa juga perkara yang melibatkan Perlembagaan Persekutuan. 

“Kami bukan parti politik, tetapi kami mempunyai ahli dan undi di seluruh negara.

“Perkasa mohon ada campur tangan dari Raja-Raja Melayu selaku Ketua Agama Islam dan payung kepada bangsa Melayu agar menangani ancaman yang sedang melanda bangsa Melayu serta umat Islam sejak akhir-akhir ini,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *