China minta henti penerokaan minyak: Malaysia berhak pertahan kedaulatan

China minta henti penerokaan minyak: Malaysia berhak pertahan kedaulatan

Dipetik laporan Ercy Gracella Ajos BH.Com

KUALA LUMPUR – Keputusan Malaysia untuk meneruskan penerokaan minyak dan gas di kawasan berpotensi di Laut China Selatan memperlihatkan ketegasan negara melindungi hak dan kedaulatan mengikut Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).

Pakar hubungan antarabangsa, maritim dan geostrategis yakin bantahan China terhadap aktiviti penerokaan berhampiran perairan Sarawak yang didakwanya melanggar sempadan maritim, tidak akan membawa kepada situasi lebih tegang sehingga memberi kesan terhadap hubungan diplomatik Kuala Lumpur-Beijing.

Mereka juga bersetuju Malaysia meneruskan perbincangan dengan kuasa besar dunia itu mengikut perundangan antarabangsa jika wujud keperluan berbuat demikian.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Profesor di Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Dr. Mohd Mizan Mohammad Aslam, berpandangan Malaysia dan China saling memerlukan sebagai rakan dagang dan strategik dalam pelbagai aspek.

“Keputusan Malaysia meneruskan penerokaan minyak dan gas di kawasan berpotensi di Laut China Selatan menunjukkan kita tegas dan punya pendirian untuk kekal dengan hak kita mengikut UNCLOS.

“Ia penegasan mengenai kedaulatan negara, bahkan sempadan perairan di Laut China Selatan diiktiraf semua negara, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Jadi, tiada masalah kita teruskan penerokaan minyak dan gas di kawasan terbabit.

“Saya yakin ia tidak akan ganggu-gugat hubungan kedua-dua negara, tidak akan bawa kepada situasi lebih tegang sehingga memutuskan hubungan diplomatik. Malaysia dan China memerlukan satu sama lain sebagai rakan dagang dan strategik dalam pelbagai aspek,” katanya semalam.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Bantahan bukan kali pertama

Berkongsi nada sama, geostrategis yang juga Felo Majlis Profesor Negara, Prof Dr. Azmi Hassan berkata, bantahan melalui nota diplomatik dihantar China menunjukkan negara itu mempunyai kepercayaan terhadap dasar diplomasi mengikut perundangan antarabangsa.

“Bantahan oleh China baru-baru ini bukan kali pertama, sudah banyak kali. Hakikat China menghantar nota bantahan itu adalah kerana ia saluran diplomasi antarabangsa. Dari segi persepsinya, China menggunakan perundangan antarabangsa yang lazim.

“Namun, berdasarkan perundangan antarabangsa juga, Malaysia mengambil keputusan tepat apabila kekal dengan pendirian meneruskan penerokaan sumber minyak dan gas di Laut China Selatan,” katanya.

Mahkamah Tribunal Timbang Tara Tetap berpangkalan di The Hague, Belanda pada 2016 juga memutuskan peta ‘Nine Dash Line’ dikeluarkan China yang menggariskan sempadan perairannya di Laut China Selatan sebagai tidak sah.

Mengenai kebocoran nota diplomatik dihantar Beijing kepada Kuala Lumpur yang mengandungi bantahan penerokaan minyak dan gas di perairan berhampiran Sarawak, Azmi menyifatkan ia tindakan provokasi oleh pihak yang membocorkannya.

“Jangan kita sambut provokasi. Provokasi bukannya melalui nota bantahan itu, tetapi siapa yang membocorkan nota berkenaan yang saya lihat cubaan untuk mendorong Malaysia mengambil tindakan.

“Saya bersetuju jika kita teruskan perbincangan mengikut perundangan antarabangsa untuk mengelakkan China mengambil tindakan fizikal seperti kes terhadap Filipina sebelum ini.

“Ini kerana mengikut perundangan antarabangsa, kita dipihak yang benar mengikut UNCLOS,” katanya dipersetujui Pakar Undang-Undang Maritim Antarabangsa, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli.

Mohd Hazmi berkata, surat atau nota bantahan adalah amalan biasa dalam bidang diplomasi antarabangsa untuk berkomunikasi mengenai sebarang salah faham atau pertikaian.

Memuji ketegasan Perdana Menteri dalam isu itu, beliau berkata, jika Malaysia tidak berbuat demikian, ia akan dilihat seperti tindakan ‘pengakuan’ atau ‘acquiescence’ bahawa perairan yang sepatutnya diteroka untuk hasil minyak dan gas itu hak negara lain.

“Kita harus terus teroka kawasan yang kita percaya milik kita seperti diputuskan UNCLOS,” katanya.

Terbuka untuk perbincangan

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak akan menghentikan penerokaan minyak dan gas di kawasan berpotensi di Laut China Selatan selagi ia terletak di dalam wilayah negara kerana ia berkait dengan kelangsungan ekonomi kita.

Walaupun terdapat bantahan oleh China yang mendakwa aktiviti di perairan berhampiran Sarawak itu melanggar sempadan yang dibenarkan, beliau berkata, operasi itu dijalankan dalam kawasan Malaysia dan tiada sebab untuk mana-mana pihak melakukan tindakan provokatif terhadap China.

Tegas Perdana Menteri lagi, Malaysia terbuka untuk perbincangan dan menjelaskan kedudukan kepada Beijing yang menghantar nota bantahan berikutan mereka menganggap lokasi diteroka itu kawasan perairan China.

Terdahulu, media melaporkan kebocoran nota diplomatik yang dihantar Beijing, membantah operasi PETRONAS di kawasan perairan berhampiran Sarawak yang didakwa melanggar sempadan perairan yang dibenarkan.

Laporan terbabit diterbitkan media Filipina, merujuk aktiviti penerokaan minyak dan gas berhampiran terumbu karang Luconia Shoals atau Luconia Reefs, kawasan dirujuk Malaysia sebagai Gugusan Beting Raja Jarum dan ‘Nankang Ansha’ serta ‘Beikang Ansha oleh China.

Kawasan terumbu karang berkenaan terletak hanya 100 kilometer (km) dari Sarawak dan hampir 2,000km dari daratan terdekat China.

China dari semasa ke semasa menggunakan alasan sejarah melalui apa yang dipanggil peta ‘Nine dash line’, mendakwa sebahagian besar Laut China Selatan adalah miliknya, namun tuntutan itu tidak diiktiraf PBB dan Amerika Syarikat.

Tuntutan China termasuk Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dikongsi Malaysia, Filipina, Brunei, Taiwan dan Vietnam.

Di bawah undang-undang antarabangsa, EEZ tidak menandakan kedaulatan sesebuah negara, tetapi memberi hak kepada negara itu untuk mengeluarkan hasil dalam zon berkenaan. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *