KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melakukan analisis dan penelitian terhadap kedudukan kewangan beberapa syarikat bagi membantu siasatan berhubung kes pemerdagangan manusia di Myanmar yang didakwa berkait bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata laporan diperoleh daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) itu turut membabitkan maklumat beberapa individu, termasuk Mashitah serta ahli perniagaan tempatan bergelar ‘Datuk Seri’.
“Kita turut melakukan semakan penerbangan bagi melihat pergerakan ke luar negara, khususnya Myanmar, oleh individu berkenaan sejak 2019.
“Selain itu, polis juga akan mengambil keterangan beberapa individu, khususnya mereka yang pernah menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan berjaya dibawa pulang dari Myanmar ke negara ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Razarudin berkata, langkah berkenaan diambil untuk mengenal pasti sebarang maklumat baharu yang boleh membantu siasatan kes itu, lapor Berita Harian.
“Setakat ini, sembilan individu telah dirakam keterangan sejak Selasa hingga semalam (Rabu),” katanya.
Namun berdasarkan semua keterangan diambil hingga kini, beliau berkata, belum ada keterangan yang kukuh menjurus kepada pemerdagangan manusia.
“Proses merakam percakapan itu membabitkan keterangan seorang ahli politik dan suaminya, selain ahli perniagaan dan beberapa individu dari sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta wartawan portal tempatan.
“Kita juga sedang mendapatkan maklum balas daripada pengarang yang menerbitkan laporan ‘Justice For Myanmar’, untuk dirakam percakapan secara dalam talian berhubung kandungan artikel itu,” katanya.
Seterusnya, Razarudin berkata, rakaman percakapan daripada seorang penulis blog dalam YouTube dari Indonesia pula mendapati individu itu mendakwa maklumat yang didedahkannya adalah hasil siasatan sendiri, manakala sebahagian lagi merujuk laporan ‘Justice For Myanmar’.
“Ketika ini, pasukan juga sedang mengesan dua lagi ahli perniagaan dari China bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Kelmarin, media melaporkan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) telah menyerahkan beberapa dokumen kepada polis bagi membantu siasatan kes pemerdagangan manusia di Myanmar itu.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, dipetik berkata dokumen itu diserahkan kepada pegawai penyiasat Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, ketika memberi keterangan kira-kira jam 9.30 pagi.
Katanya, beliau bersama Ahli Jawatankuasa MHO, Azirul Shafiq, dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Hishamuddin juga dilaporkan mendakwa modus operandi sindiket terbabit ialah memperdaya mangsa secara dalam talian dengan menawarkan pekerjaan yang menarik sebelum memaksa mangsa bekerja sebagai ‘scammer’ penipuan judi secara dalam talian.
Beliau dipetik berkata, baru-baru ini tular satu video dalam media sosial dikatakan pembongkaran sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar, bertajuk ‘Neraka Perbatasan: Jejak Mafia Judi Online dan Perbudakan Digital di Asia’ yang diterbitkan di Indonesia.
Mashitah kemudian dipetik menafikan terbabit dalam aktiviti sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar sebagaimana dilaporkan media.
Dalam satu lagi kenyataan pula, Mashitah menyifatkan dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan fitnah membunuh, memperdagangkan orang dan menjual organ, sebagai tuduhan yang berat, mengelirukan serta menimbulkan keresahan orang ramai. -ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252