KUALA LUMPUR – Pucuk pimpinan UMNO menyerahkan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk mengumumkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor, akhir bulan ini.
Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu sudah dipersetujui pimpinan parti.
“Saya berikan kuasa kepada Menteri Besar Johor untuk buat pengumuman calon PRK DUN Mahkota,” katanya lapor BHNews selepas melancarkan Persidangan Perundangan Antarabangsa Ancaman dalam Talian 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini, manakala penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September ini.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menjawab pandangan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, baru-baru ini, yang mahu beliau diberikan ‘cuti’ sehingga siasatan bebas terhadapnya selesai.
Menjawab ringkas, Ahmad Zahid berkata, ramai pemimpin PAS lain yang turut disiasat ketika ini.
“Ramai tokoh PAS yang patut bercuti sebab mereka juga dalam siasatan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Armada BERSATU pada 30 Ogos lalu membuat laporan polis terhadap Ahmad Zahid dengan mendakwa terdapat unsur tipu helah atau memperdaya Yang di-Pertuan Agong ketika mengemukakan akaun bersumpah (SD) bagi membentuk Kerajaan Persekutuan pada November 2022.
Susulan itu, Isnin lalu, Tuan Ibrahim mengeluarkan kenyataan supaya pemimpin tertinggi UMNO itu diberikan cuti kerana merasakan tidak mungkin seseorang dapat disiasat sepenuhnya ketika masih memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252