HARI ini genap satu minggu usaha mencari mangsa tanah jerlus di Masjid India, Kuala Lumpur diteruskan. Pelbagai kaedah dan kepakaran digunakan, namun belum ada tanda-tanda mangsa dijumpai.
Anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan unit penyelam dan unit anjing turut digunakan, tetapinya belum juga membuahkan hasil. Pelik dan ajaib.
Sungguh pun begitu, tidak ada erti berputus asa dalam jiwa anggota JBPM yang terlibat. Mereka meneruskan usaha mencari siang dan malam. Mereka masuk dalam lubang-lubang, sistem paip dan saluran kumbahan yang merbahaya.
Tanpa mempedulikan nyawa sendiri, jiwa mangsa paling diutamakan, walaupun harapan untuk mangsa ditemui masih hidup agak tipis.
Ahli keluarga mangsa, sanak saudaranya dan seluruh rakyat Malaysia menitipkan doa agar mangsa ditemui walau dalam keadaan apa sekali pun. Ini adalah kemalangan dan ia boleh berlaku atau menimpa sesiapa sahaja.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah membatalkan sambutan ambang merdeka yang sepatutnya berlangsung jam 12 malam ini dan perarakan serta perbarisan peringkat wilayah berlangsung pagi esok.
Ini sebagai menghormati tragedi yang berlaku. Bahkan, sikap prihatin dan berperikemanusiaan kerajaan wajar dipuji serta disambut baik, kerana yang penting ialah memastikan mangsa ditemui sama ada dalam jasad yang masih lemah atau sudah kaku.
Sayugia Pak Dee ingatkan semua pihak yang terlibat dan berkaitan, baik dengan pembangunan, sistem saluran mahupun tanah, perlu duduk semeja mencari solusi bagi meningkatkan tahap keselamatan.
Memang benar, semua sistem yang ada di bawah tanah itu sudah lama, tetapi tidak terlambat untuk pihak-pihak berkenaan mengubahnya menjadi kepada yang lebih sistematik.
Kepercayaan, keyakinan serta keselamatan rakyat perlu diutamakan sekiranya mahu ibu kota Kuala Lumpur terus dikunjungi pelancong tempatan mahupun luar.
Menteri-menteri, termasuk Perdana Menteri dan pemimpin juga perlu sekali sekala turun ke lokasi kejadian. Tunjuk dan bukti kepada kerajaan India (kerana mangsa adalah warganegara India) betapa kita mengambil berat dengan kejadian yang berlaku.
Jangan biarkan komen negatif memenuhi setiap ruang di media sosial baru nak tunjuk muka. Turunlah, acap kali pun tak apa, sekurang-kurangnya kehadiran mereka memberi semangat kepada ahli keluarga mangsa dan lebih-lebih lagi kepada pasukan yang terlibat dalam operasi pencarian.
Jangan hanya tahu buat kenyataan media di pejabat. Buatlah kenyataan media di lokasi supaya dapat menyelami suasana sebenar yang berlaku.
Pak Dee tidaklah bermaksud nak mengajar, tetapi sebagai pihak yang matang, mereka perlu menyesuaikan diri.
Esok sambutan Hari Kemerdekaan di Putrajaya, sudah tentu semua pemimpin berkumpul dan berhimpun di sana. Yang ada di lokasi kejadian tanah jerlus ialah anggota JBPM, polis, APM dan sebagainya bertarung nyawa dalam operasi mencari mangsa.
Eloklah, tamat sambutan Hari Kemerdekaan esok, semua pakat turun ke lokasi. Lihat sendiri keadaan dan balik ke Putrajaya nanti, mereka dapat ilham macam mana untuk lebih menyusun aturkan lagi sistem pembangunan di atas mahupun di bawah tanah di bandaraya Kuala Lumpur.
Pak Dee termasuk lebih 30 juta rakyat Malaysia yang semua mata tertumpu di lokasi Masjid India mendoakan keselamatan kepada pasukan penyelamat dan diharapkan juga mangsa dapat ditemui dalam tempoh terdekat ini. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252