BERITA UTAMA
Sultan Nazrin berkenan rasmi lukisan kanvas Harimau Malaya terbesar

Sultan Nazrin berkenan rasmi lukisan kanvas Harimau Malaya terbesar

KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan merasmikan lukisan kanvas Harimau Malaya terbesar di Malaysia menerusi inisiatif program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) anak syarikat Amanah Raya Berhad (AmanahRaya), AmanahRaya-Kenedix REIT Manager Sdn. Bhd.

Hadir sama, Pengerusi AmanahRaya, Tan Sri Idrus Harun; Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya, Ahmad Feizal Sulaiman Khan; dan Pengarah Urusan AmanahRaya-Kenedix, Yang Mulia Tunku Rozita Tunku Abdul Malek juga barisan Ahli Lembaga Pengarah, Kumpulan AmanahRaya.

Idrus dalam sembah ucapannya berkata, AmanahRaya-Kenedix telah mengambil inisiatif mengadakan kempen ‘Konservasi Harimau Malaya’ bagi mempertingkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memulihara Harimau Malaya atau Panthera Tigris Jacksoni dengan kerjasama Persatuan Pelindung Harimau Malaya (RIMAU) di Vista Tower, The Intermark, Kuala Lumpur.

Kata beliau, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memaklumkan, populasi Harimau Malaya liar di Malaysia telah menurun daripada lebih kurang 1,000 pada tahun 1970an kepada kurang 150 sehingga kini kerana pelbagai ancaman seperti pemburuan haram.

Jelasnya, inisiatif itu juga selaras dengan keperluan amalan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) yang perlu dipraktikkan oleh setiap syarikat korporat serta warga kerja Kumpulan AmanahRaya.

Sementara itu, Tunku Rozita dalam sembah ucapannya ketika memberi penerangan mengenai kanvas lukisan Harimah Malaya berkata, lukisan gergasi yang terhasil itu adalah menerusi gabungan 16 kanvas berukuran keseluruhan 23 meter persegi lebar.

Ia katanya, merupakan sebahagian dari usaha proaktif AmanahRaya-Kenedix dan RIMAU untuk membantu dalam konservasi Harimau Malaya yang menjadi satu indikator penting bagi biodiversiti dan kemandirian spesies ini di hutan negara kita.

Beliau berkata, mulai hari ini turut diadakan pameran hasil karya seni berkaitan Harimau Malaya yang akan dijual kepada orang ramai dan sebahagian daripada hasil penjualan karya seni akan disalurkan ke Tabung Kempen Selamatkan Harimau Malaya anjuran RIMAU.

Kanvas Lukisan Harimau Malaya yang dihasilkan oleh pelukis mural terkenal Malaysia, Lina Ali disiapkan dengan bantuan Pengurusan dan Warga Kerja Kumpulan AmanahRaya menerusi program CSR mewarna-Harimau Malaya yang diadakan pada 30 dan 31 Mei lalu. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *