KUALA LUMPUR – Bomba melakukan pengepaman saluran air kumbahan di kawasan unit operasi Kuala Lumpur Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam, dalam usaha mengesan wanita warga India yang jatuh akibat tanah jerlus, Jumaat lalu.
Sehingga kini, wanita dikenali Vijayaletchumy belum dapat dikesan dalam kejadian di Jalan Masjid India.
Seorang anggota bomba memberitahu, mereka mengepam keluar air untuk masuk lurang kumbahan.
“Sekarang kami sedang pam air keluar, selepas itu baru anggota kami dapat memasuki lurang kumbahan yang mencabar,” katanya kepada media.
Semalam, enam lurang kumbahan sekitar lokasi SAR di hadapan Malayan Mansion dibuka secara berperingkat selepas usaha pencarian di kawasan mangsa dilaporkan terjatuh menemui jalan buntu.
Difahamkan, selain bomba dan IWK, operasi SAR hari ini Angkatan Pertahanan Awam, polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Terdahulu, Ketua Polis Dang Wangi Sulizmie Affendy Sulaiman, memaklumkan hari ini operasi pencarian mangsa kejadian tanah jerlus itu memfokuskan kepada enam lurang kumbahan.
Enam lurang kumbahan itu adalah di hadapan Wisma Yakin, Jalan Melayu, persimpangan Jalan Melayu, Dataran Merdeka, Bank Pertanian berhampiran Lebuh Pasar, dan Jalan Kinabalu.
Pengamal media turut berada di lokasi kejadian sejak pagi untuk membuat liputan pencarian wanita warga India terbabit yang memasuki hari ketiga.
Jumaat lalu, mangsa yang merupakan pelancong dari Kuppam, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam 8m susulan insiden tanah jerlus, pada 8.22 pagi.
Mangsa yang berada di negara ini bersama keluarga untuk melancong, sedang berjalan di kawasan itu untuk ke sebuah kuil berhampiran bagi bersarapan sebelum kejadian. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252