BERITA UTAMA
278 pelajar B40 Parlimen Bangi terima BAP, cermin mata YBR

278 pelajar B40 Parlimen Bangi terima BAP, cermin mata YBR

KAJANG – Tanggungjawab sosial korporat Yayasan Bank Rakyat (YBR) hari ini menumpukan kepada murid, pelajar dan mahasiswa dari kalangan B40 di kawasan Parlimen Bangi.

Dalam majlis dihadiri Ahli Parlimen Bangi yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Syahredzan Johan, seramai 186 murid dan pelajar menerima sumbangan cermin mata, manakala 92 mahasiswa memperoleh bantuan awal pengajian.

Majlis yang diadakan di Dewan Seri Cempaka, Kajang itu turut dihadiri Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; Ketua Bahagaian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd. Rahman; dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Dalam ucapannya, Syahredzan berkata, bantuan cermin mata dan pemeriksaan mata secara percuma itu adalah sebahagian daripada inisiatif YBR dalam meningkatkan tahap pendidikan murid dan pelajar yang memerlukan alat penglihatan terutama golongan tidak berkemampuan.

Katanya, bantuan cermin mata itu melibatkan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kajang, SK Jalan Semenyih, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kajang Utama, SMK Jalan Empat, SMK Convent (M) Kajang, SMK Jalan Reko dan SMK Jalan Tiga.

“Saya amat berterima kasih kepada pengurusan YBR kerana inisiatif ini dapat mengurangkan beban kewangan keluarga melalui penjagaan kesihatan mata murid dan pelajar.

“Sememangnya cermin mata amat diperlukan oleh murid dan pelajar yang terkesan dengan masalah penglihatan bagi membolehkan mereka belajar dengan baik,” katanya.

Pada masa sama, Syahredzan berkata, penyerahan bantuan awal pengajian berjumlah RM46,000 kepada 92 mahasiswa adalah bagi meringankan beban keluarga dalam menanggung kos pembelajaran di IPT.

Kata beliau, bantuan itu diberikan kepada mereka yang layak sahaja untuk memulakan semester dengan menyediakan peralatan pengajian diperlukan bagi meneruskan pengajian.

“Bantuan tunai ini adalah inisiatif bagi meneruskan usaha dalam menyediakan penuntut dan golongan muda akses pendidikan berkualiti.

“Kita harapkan, dengan bantuan ini memberi semangat kepada penuntut meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan seterusnya meningkatkan pembangunan modal insan negara.

“Kita juga harapkan inisiatif ini memberi semangat kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang SPM dan STPM untuk menyambung pengajian di IPT dan sekali gus meningkatkan pembangunan modal insan negara,” katanya.

Untuk rekod, sehingga Ogos ini, seramai 407 penuntut telah menerima manfaat melalui bantuan awal pengajian YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM272,100 di seluruh negara.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *