KUALA LUMPUR – Tindakan seorang penunggang motosikal keluar simpang secara melulu dipercayai punca bas Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor terbabas di Jalan Simpang Morib, Kampung Kelanang, kira-kira jam 1.15 tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Honda telah keluar dari simpang perumahan Kelanang menghala ke Simpang Morib.
Beliau berkata, ketika bas sampai di lokasi kejadian, penunggang motosikal dipercayai telah keluar dari simpang lalu membelok ke kanan dan masuk ke laluan bas.
“Akibat jarak terlalu dekat, bas telah melanggar di bahagian sisi kiri motosikal dan menyebabkan bas hilang kawalan sebelum terbabas di bahu jalan lalu terbalik.
“Dalam kemalangan ini, penunggang motosikal berusia 46 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori telah mengalami kecederaan di kaki dan rusuk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, pemandu bas seorang lelaki berusia 41 tahun dan kelindan berusia 39 tahun serta 21 penumpang yang dalam perjalanan ke Pusat Latihan Awam Selangor untuk menghadiri kursus telah mengalami kecederaan.
Ahmad Ridhwan berkata, kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Banting bagi menerima rawatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mazrol Mohd Din di talian 01118539115.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252