PENYANYI dan pelakon terkenal dari Taiwan, Gino Tsai mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas berkongsi pengalaman ketika menginap di sebuah hotel di Malaysia.
Pengalaman cukup menyeramkan itu adalah kisah sebenar yang dialami sendiri oleh Tsai ketika penyanyi berkenaan dijemput untuk membuat persembahan di negara ini.
Walau bagaimanapun, Tsai tidak mendedahkan negeri atau lokasi sebenar kejadian tersebut berlaku menerusi perkongsian yang dibuat menerusi platform Youtube itu.
Menurut penyanyi berusia 44 tahun itu, kejadian berlaku ketika dirinya sedang mandi pada lewat malam sebelum terdengar ketukan berterusan di pintunya, lapor The Star.
Selepas membuka tirai pancuran mandian, Tsai terkejut apabila mendapati pintu bilik air telah terbuka malah alas kaki di ruangan masuk juga sepertinya sudah ‘berselerak’.
“Saya baru nak marah sebelum menyedari ketukan itu datang daripada pintu bilik air. Tiba-tiba, tergerak hati untuk memandang ke sebelah kiri saya. Anda semua tahu tak apa yang saya nampak?
“Seperti ada lembaga berada di situ, ia sedang meniru setiap pergerakan saya. Saya pasti ia kelihatan seperti manusia. Saya merenungnya sebelum ia turut membalas renungan tersebut,” katanya memetik laporan The Star.
Ketua kumpulan ‘boyband’ daripada Taiwan iaitu K One itu tidak menafikan dirinya ketakutan sebelum membuat keputusan berlari ke lobi hotel untuk meminta bantuan kakitangan yang berada di meja penyambut tetamu.
Meskipun tubuh badannya hanya dibalut tuala, Tsai tidak berani untuk menukarkan pakaiannya sebelum bertindak berlari keluar daripada biliknya menuju ke lobi hotel berkenaan.
Difahamkan, kakitangan hotel sudah menawarkan pilihan bagi menukarkan biliknya namun selebriti Taiwan terbabit tetap berkeras untuk bermalam dengan pengurusnya sahaja kerana terlalu takut.
Pada keesokan harinya, Tsai mendakwa pemilik hotel itu kemudian mendatanginya sebelum berkongsi satu cerita mengenai kes pembunuhan kejam yang dikatakan telah berlaku di dalam bilik didiaminya.
Kononnya, seorang lelaki bertindak mencekik leher teman wanitanya sehingga mati di dalam bilik hotel berkenaan sebelum menyembunyikan anggota kepala mayat itu di siling tandas.
“Itu bilik air sama yang saya masuk! Kalaulah saya kembali ke bilik itu semula, tak tahulah apa yang akan berlaku. Mungkin saya akan melihat orang yang tidak berkepala pula!.” Jerit Tsai kepada penonton. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252