BERITA UTAMA
Ada cubaan pengaruhi pengundi tidak keluar mengundi

PRK Nenggiri: Polis sahkan ada cubaan pengaruhi pengundi tidak keluar mengundi

GUA MUSANG – Polis Kelantan mengesahkan ada pihak tertentu cuba mempengaruhi pengundi supaya tidak menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Sabtu ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mengeluarkan sebarang kenyataan provokasi melampau sehingga boleh mengganggu-gugat sistem demokrasi serta ketenteraman awam.

“Mana-mana parti politik atau individu dilarang sama sekali menimbulkan provokasi antara satu sama lain bagi mengelakkan ketenteraman awam tergugat,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perkara itu boleh disiasat di bawah Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Polis akan memastikan pilihan raya berjalan lancar tanpa sebarang halangan dan memberi jaminan semua pengundi akan keluar mengundi dengan selamat, tanpa ragu-ragu dan bebas membuat pilihan tanpa dipengaruhi mana-mana individu supaya tidak menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya.

Muhamad Zaki turut memuji parti atau individu yang menjalankan kempen secara berhemah dan mematuhi kehendak pilihan raya.

PRK DUN Nenggiri, yang ditetapkan hari mengundi Sabtu ini, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional.

PRK itu diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun selepas keahlian bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan oleh Bersatu pada 13 Jun. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *