KUALA LUMPUR – Dua budak lelaki berusia 13 tahun maut selepas motosikal ditunggang mereka bertembung sesama sendiri ketika sedang melakukan aksi ‘wheelie’ di Jalan Elmina Business Park, Aman Putri, Sungai Pelong, Shah Alam dekat sini, malam tadi.
Kemalangan dilaporkan berlaku kira-kira jam 11.20 malam, lapor BHNews.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, siasatan mendapati kedua-dua mangsa adalah rakan dan berasal dari Kampung Kubu Gajah.
“Siasatan lanjut mendapati kemalangan berlaku apabila kedua-dua motosikal itu bertembung di laluan bertentangan arah ketika melakukan aksi ‘wheelie’ dan akhirnya bertembung secara berdepan.
“Akibat kejadian ini, kedua-dua penunggang terbabit yang berumur lingkungan 13 tahun meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Hafiz berkata, mayat kedua-dua remaja itu kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Selain itu, siasatan sedang dijalankan sama ada terdapat rakan motosikal lain bersama kedua-dua mangsa semasa kejadian.
Dalam pada itu, katanya, rekod menunjukkan statistik kemalangan maut disebabkan aktiviti berlumba atau menguji kelajuan motosikal dalam daerah Sungai Buloh bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini meningkat secara drastik.
“Setakat ini, sebanyak 11 penunggang motosikal dilaporkan maut akibat aktiviti berlumba dengan tujuh kertas siasatan dibuka berbanding tempoh sama tahun lalu dengan tiga penunggang motosikal maut dan tiga kertas siasatan dibuka.
“Peningkatan ini amatlah membimbangkan. Justeru itu, ibu bapa atau penjaga haruslah peka dan cakna dalam mengawal kegiatan anak masing-masing.
“Khususnya anak-anak di bawah umur, terutama pada waktu malam agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti lumba haram yang boleh mengancam dan meragut nyawa mereka serta membahayakan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
Tegas beliau, penunggang motosikal di bawah umur dan penjaga boleh dituduh mengikut Seksyen 39 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan memandu bawah umur dan membenarkan orang lain yang tidak memiliki lesen memandu.
“Jika disabitkan kesalahan akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
“Ibu bapa boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang menggariskan kesalahan membabitkan penganiayaan, pengabaian, dan pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.
“Mereka boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.
Mohd Hafiz berkata dalam isu lumba haram ini, masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha membanteras kegiatan itu. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252