JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri menyediakan khidmat kaunseling kepada ahli keluarga mangsa pembunuhan kejam Istiqomah Ahmad Rozi.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail@Md On berkata, ia bagi membantu mengembalikan semangat keluarga khususnya anak-anak guru berkenaan.
“Anak-anak arwah yang masih kecil memerlukan sokongan moral dan mental untuk menghadapi masa depan yang penuh cabaran tanpa ibu mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, semalam.
Terdahulu, Khairin-Nisa, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Azizul Bachok meluangkan masa menyantuni keluarga Istiqomah.
“Saya berdoa agar mereka diberikan ketabahan dan kekuatan jiwa serta semoga keadilan ditegakkan dengan pesalah dihukum setimpal dengan perbuatan keji tersebut,” katanya.
Kelmarin, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ashari Abu Samah dalam kenyataan mengesahkan mayat tanpa kepala dan tangan yang ditemukan di tepi jalan di kawasan kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka pada 31 Dis tahun lepas ialah Istiqomah, 33, yang dilaporkan hilang pada 27 Dis 2023.
Polis telah menahan reman sepasang suami isteri bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, namun isteri suspek berusia 36 tahun yang direman sejak 6 Ogos lepas dibebaskan dengan jaminan polis. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252