MADRID – Penyerang Real Madrid dan Brazil, Vinicius Jr terbuka kepada tawaran melebihi satu bilion euro (RM4.87 bilion) dari Arab Saudi.
Vinicius, 24, dihubungi pegawai-pegawai Public Investment Fund (PIF) yang ingin tahu sama ada dia berminat menyertai Liga Pro Saudi untuk kontrak lima tahun bernilai 200 juta euro (RM974.25 juta) semusim, berserta bonus.
Pakej itu termasuk kontrak berasingan selama 10 tahun sebagai duta untuk Piala Dunia 2034, yang akan berlangsung di negara itu, tetapi syarat serta jumlah sebenar belum dibincangkan.
Walaupun tawaran rasmi masih belum dibuat, Vinicius tidak menolak kemungkinan perpindahan itu dan memberi laluan kepada PIF untuk berunding dengan Real Madrid.
Dia yang gembira bersama kelab gergasi Sepanyol itu percaya, tawaran lumayan begini perlu diteliti sebaiknya.
Pada masa sama Real dilaporkan tidak berminat untuk melepaskan Vinicius dan meletakkan klausa pelepasan berjumlah 1 bilion euro (RM4.87 bilion) untuk pemain itu.
Sekiranya menjadi kenyataan, Vinicius akan menyertai Al-Ahli – kelab yang menampilkan bekas pemain Liga Perdana Inggeris, Riyad Mahrez dan Roberto Firmino.
Kontrak Vinicius di Bernabeu tamat pada tahun 2027 selepas dia melanjutkannya pada tahun 2022.
Dia antara calon Ballon d’Or selepas membantu Real memenangi Liga Juara-Juara Eropah dan La Liga musim lalu. – REUTERS
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252