KUALA LUMPUR – Solar District Cooling Group Berhad (SDCG) memeterai perjanjian taja jamin dengan Mercury Securities Sdn. Bhd. (Mercury Securities) untuk tawaran awam permulaannya (IPO) yang akan datang di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
SDCG dan anak syarikatnya (Kumpulan) terlibat terutama dalam penyediaan dan penyelenggaraan sistem pengurusan bangunan (BMS), penyelesaian haba suria serta perkhidmatan penjimatan tenaga.
Kumpulan mempunyai rekod prestasi yang terbukti dalam meningkatkan kecekapan tenaga merentas pelbagai sektor dan berusaha untuk mewujudkan penanda aras dalam pengurusan tenaga dan kecekapan kos.
IPO itu melibatkan terbitan awam 118,670,000 saham biasa baharu (Saham Terbitan), mewakili 28 peratus daripada modal saham terbitan SDCG yang diperbesarkan sebanyak 423,822,460 saham biasa semasa penyenaraiannya.
Pengarah Urusan SDCG, Edison Kong berkata, penyenaraian SDCG akan meningkatkan keberadaan dan reputasi syarikat dalam pasaran dan membolehkan pengarah, pekerja, rakan kongsi perniagaan dan pelabur awam mengambil bahagian dalam pertumbuhan serta pengembangan perniagaan yang berterusan, meningkatkan nilai pemegang saham.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada Mercury Securities atas sokongan dan keyakinan mereka terhadap Kumpulan,” katanya di sini, hari ini.
Kong berkata, pencapaian korporat itu akan membantu meningkatkan Kumpulan ke tahap lebih tinggi dengan memanfaatkan peluang baharu dan bertindak balas kepada keperluan pelanggan serta trend pasaran yang semakin berkembang.
“Kami kekal fokus untuk menyediakan penyelesaian inovatif yang mencipta nilai kepada pelanggan kami, berusaha untuk melebihi mereka jangkaan,” katanya.
Mengulas lanjut, saham terbitan itu akan diperuntukkan mengikut cara berikut, iaitu 21,192,000 Saham Terbitan mewakili lima peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan untuk permohonan oleh orang ramai, dengan 50 peratus disediakan untuk pelabur bumiputera.
Manakala 21,192,000 Saham Terbitan mewakili lima peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan untuk permohonan oleh pengarah, pekerja dan individu layak yang telah menyumbang kepada kejayaan Kumpulan.
Sebanyak 76,286,000 Saham Terbitan mewakili 18 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan yang disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Mercury Securities akan menaja jamin semua 42,384,000 Saham Terbitan disediakan untuk permohonan oleh orang awam dan orang yang layak.
Pengarah Urusannya, Chew Sing Guan berkata, pihaknya gembira menjadi Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin Tunggal dan Ejen Penempatan Tunggal untuk SDCG.
Di samping memainkan peranan dalam perjalanan korporat baharu mereka sebagai syarikat tersenarai di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
Penyenaraian itu akan membolehkan SDCG memanfaatkan pasaran modal untuk rancangan pertumbuhan dan pengembangannya pada masa hadapan. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252