KUALA LUMPUR – Coral Evergreen Sdn. Bhd. anak syarikat milik penuh Minetech Resources Bhd., menerima Surat Tawaran (LOA) daripada Puncak Utara Sdn. Bhd. (Puncak Utara) bernilai RM36.79 juta bagi projek menaik taraf sistem kumbahan dan kerja berkaitan di Perbandaran Ketengah Jaya, Bukit Besi dan Seri Bandi Fasa III di Wilayah Ketengah, Terengganu.
LOA yang diperoleh itu adalah bagi kerja penambahbaikan sistem kumbahan dan infrastruktur berkaitan di kawasan Ketengah Jaya, Bukit Besi dan Seri Bandi.
Projek itu ditetapkan untuk bermula pada 29 Julai lalu dengan dijangka siap 13 Jun 2027.
Pengerusi Eksekutif Minetech, Abang Abdillah Izzarim berkata, pihaknya gembira kerana telah dianugerahkan kontrak itu oleh Puncak Utara.
Katanya, dengan Ketengah sebagai agensi kerajaan disegani, projek itu bukan sahaja mengukuhkan portfolio syarikat, tetapi juga meningkatkan kredibilitinya dalam industri.
Memandang ke hadapan, kata beliau, Minetech akan terus mendapatkan projek utama secara aktif dan mengembangkan jejak syarikat dalam sektor infrastruktur, termasuk kejuruteraan awam dan rawatan air.
“Kami juga tidak sabar untuk meneroka peluang masa depan di Sarawak, di mana kami menyasarkan untuk memacu pertumbuhan dan memberikan hasil yang positif,” katanya di sini, hari ini.
Abang Abdillah berkata, Minetech mengharapkan kerjasama yang berjaya dengan Puncak Utara, memacu projek ke arah penyiapan tepat pada masanya dan menetapkan penanda aras baharu dalam segmen infrastruktur.
Jelas beliau lagi, pada Julai sahaja, syarikat memperoleh dua kontrak penting berjumlah RM20.15 juta daripada MyVilla Development Sdn. Bhd., anak syarikat Mah Sing Group Bhd., untuk menaik taraf dan pembinaan jalan luar serta sistem perparitan di Mukim Batu, Kuala Lumpur, dan kontrak untuk kerja-kerja jalan dan perparitan di Bandar Perindustrian Banting di Kuala Langat, Selangor. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252