MADRID – Atletico Madrid menandatangani penyerang Julian Alvarez dari Manchester City pada harga yang dilaporkan mencecah 85 juta euro (RM414.03 juta).
“Kelab mencapai persetujuan dengan Manchester City untuk perpindahan penyerang Argentina itu, yang sudah menandatangani kontrak untuk enam musim akan datang,” kata Atletico.
Pemain 24 tahun itu tiba di City pada Januari 2022 dari River Plate dengan harga 16 juta euro (RM77.93 juta), memenangi dua trofi Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara Eropah bersama kelab Inggeris berkenaan.
Alvarez turut membantu Argentina menjulang trofi Piala Dunia pada Disember 2022 dan Copa America 2021 dan 2024.
“Hari ini saya mengucapkan selamat tinggal kepada kelab yang menakjubkan ini, dengan penuh emosi.
“Ia dua tahun yang cukup istimewa. Sepanjang tempoh ini, saya membangun dan belajar banyak perkara – sebagai pemain dan individu,” kata Alvarez.
Alvarez meledak 36 gol untuk City dalam 103 penampilan di semua pertandingan.
“Dia sangat disayangi oleh pasukan kerana tingkah lakunya tetapi seperti yang saya katakan untuk pemain-pemain lain, dia mahu meninggalkan pasukan dan mencari cabaran baharu,” kata pengendali Man City, Pep Guardiola. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252