Terpedaya individu menyamar polis, pasangan suami isteri rugi RM120,000

JOHOR BAHRU: Pasangan suami isteri kerugian RM120,000 dalam masa sehari selepas terpedaya dengan panggilan telefon diterima daripada individu menyamar polis bagi Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) yang mendakwa kononnya akaun bank mereka terbabit dalam penipuan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, berkata pihaknya menerima laporan dibuat lelaki tempatan berusia 56 tahun itu semalam.

Beliau berkata, mangsa mendakwa dia dan isteri ditipu individu menyamar penguat kuasa AMLA atau polis itu hingga mereka membuat 17 kali transaksi pembayaran melalui mesin deposit ke dalam tiga akaun bank berbeza pada Isnin lalu dengan keseluruhan wang dipindahkan berjumlah RM120,000.

“Mangsa diberitahu, pembayaran itu untuk pengesahan audit kewangan, namun apabila semua transaksi sudah dibuat, nombor talian akhirnya disekat.

“Kedua-dua mangsa yang tidak bekerja itu kemudian sedar ditipu, sebelum membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu.

“Siasatan juga akan membabitkan keldai akaun sekiranya ada dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohd Sohaimi menasihati orang ramai lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya termasuk bagi sebarang tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan mudah, cepat dan tinggi.

Beliau berkata, orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan dalam talian yang disediakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) seperti ‘National Scam Response Centre’ (NSRC), CCID Infoline, Semak Mule dan Facebook JSJK Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendapatkan maklumat berkaitan jenayah komersial sebelum membuat sebarang transaksi bayaran kepada pihak lain.


Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *