BERITA UTAMA
Persoalannya, kenapa kuil? Sedangkan banyak kaedah lain boleh diketengahkan - Perkasa

Persoalannya, kenapa kuil? Sedangkan banyak kaedah lain boleh diketengahkan – Perkasa

KUALA LUMPUR – Banyak lagi kaedah boleh diketengahkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dalam program berkalanya bagi meningkatkan kefahaman dan kemahiran dakwah di kalangan guru, kata Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Irwan Fahmi Ideris.

Ujar beliau, yang membangkitkan tanda tanya dan persoalan, mengapa harus kuil penganut agama Hindu menjadi pilihan.

“Perkasa mahu tahu, atas keperluan mendesak apakah yang mendorong JAIPk membuat lawatan ke kuil? Adakah dengan membawa guru ke sini dapat menajamkan ilmu agama kepada mereka yang beragama Islam?

“Mengapa JAIPk tidak menetapkan tempat terbuka yang lebih sesuai untuk peserta kursus dalam modul kursus ini? Mengapa harus ke kuil? Banyak lagi kaedah lain boleh diketengahkan seperti menayangkan video hal ehwal agama, budaya dan tradisi setiap agama?,” soal beliau dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Kelmarin, Perkasa mendesak JAIPk memberi penjelasan berhubung dakwaan lawatan rombongannya ke sebuah kuil di ibu kota, Kuala Lumpur.

Irwan Fahmi dilaporkan berkata, video berdurasi 6:32 saat itu memaparkan rombongan jabatan agama itu diberi penerangan mengenai ibadat penganut Hindu, sekali gus mencetuskan pelbagai persoalan.

Bagaimanapun, isu itu mendapat respon Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar yang mendakwa Kursus Dakwah Harmoni dikendalikan Global Unity Network Unity (UNITY) dengan kerjasama JAIPk yang didakwa mengancam akidah anak bangsa adalah tohmahan tidak bersandarkan fakta sebenar.

Katanya, pihaknya kesal dengan tohmahan dibuat seorang ahli politik berhubung perkara berkenaan yang hanya bertujuan memburukkan imej dan komitmen kerajaan dalam menjayakan agenda mengukuhkan kedudukan Islam serta pembangunan ummah di negara ini.

Program berkala itu, kata beliau, adalah sebahagian daripada siri latihan peningkatan kefahaman dan kemahiran dakwah yang bermatlamat meningkatkan kepakaran dakwah kepada guru bagi membolehkan mereka memberikan kefahaman sebenar mengenai ilmu berkaitan agama lain dan perbandingannya kepada komuniti dan generasi muda.

Mengulas lanjut, Irwan Fahmi menjelaskan, Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan cukup jelas kepentingan beragama dalam negara dan melarang doktrin perkembangan agama Lain terhadap orang yang menganuti agama Islam.

Menurut beliau, jelas tindakan JAIPk dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertentangan dengan Perlembagaan Negara.

“Inilah akibat apabila seorang peserta beragama Islam mengatakan terdapat banyak persamaan antara Islam dengan agama Hindu sudah cukup melampau dan keterlaluan kerana ianya bukan sahaja tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan tetapi merupakan kesalahan jenayah serta bertentangan dengan Perlembagaan Negara.

“Perkasa juga merujuk kenyataan media pejabat Menteri Besar Perak yang meminta orang ramai bertenang dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan dan ketegangan.

“Untuk makluman pihak pejabat Menteri Besar, ini isu agama dan akidah umat Islam serta pelbagai persepsi negatif akan terpalit kepada sebuah jabatan yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal agama Islam,” katanya.

Beliau menyatakan, mengapa JAIPk perlu mencampuri urusan agama lain, sedangkan boleh saja menumpukan kepada hal ehwal agama Islam.

“Orang Melayu dan Islam sudah terlalu berlemah lembut, tetapi isu yang melibatkan kepentingan agama Islam ianya tiada kompromi.

“Justeru, Perkasa mohon penguatkuasaan dilipat gandakan pihak berkuasa terhadap mana-mana individu yang cuba membawa agenda pluralisme serta penyebaran agama lain kepada umat Islam secara terang terangan ataupun tertutup.

“Antara contoh bila isu lawatan kuil ini ditularkan, pada masa sama isu pengedaran kitab bible pula timbul di hadapan sebuah surau di Melaka. Di manakah pihak berkuasa? Perbuatan ini juga bercanggah dengan Perlembagaan Negara Perkara 11(4),” tegasnya.

Beliau mahu pihak istana turut campur tangan untuk bertindak melalui Majlis Raja-Raja Melayu memastikan dan menjamin kedudukan agama Islam terus tetap terpelihara seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Negara. – NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *